KUALA LUMPUR – Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) terus mengekalkan prestasi kewangan yang kukuh dan mampan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan merekodkan perolehan kumpulan sebanyak RM441 juta.
Pengerusi KOPETRO, Ahmad Nizam Abdul Latif berkata, kejayaan itu disokong oleh pengurusan operasi yang lebih cekap serta pelaksanaan strategi perniagaan yang berdisiplin.
Menurut beliau, prestasi yang dicapai itu turut mencerminkan keutuhan pengurusan serta amalan tadbir urus yang berlandaskan disiplin, integriti dan akauntabiliti dalam memastikan kelestarian jangka panjang koperasi.
“Pendekatan ini dizahirkan melalui sifar toleransi terhadap sebarang ketidakpatuhan dan salah laku, disokong oleh pelaksanaan taklimat, latihan kepimpinan serta kempen integriti secara berterusan.
“Hasilnya, ia meningkatkan kesedaran, disiplin dan kecekapan pelaksanaan tugas, sekali gus memperkukuh kedudukan KOPETRO sebagai organisasi yang berteraskan integriti dan tadbir urus cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nizam menambah, tahun 2025 turut menyaksikan Kumpulan KOPETRO telah meningkatkan keuntungan sebelum cukai melebihi 100 peratus kepada RM10 juta, meskipun berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar.
Di peringkat Kumpulan juga katanya, pendapatan direkodkan sebanyak RM198 juta, dipengaruhi oleh perubahan sumbangan beberapa aktiviti perniagaan utama sepanjang tahun kewangan tersebut.
“Prestasi ini disokong oleh pelaksanaan berterusan Pelan Strategik KOPETRO 2021–2025 (SP25) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan portfolio perniagaan, kepelbagaian sumber pendapatan, pengoptimuman operasi serta pengurusan kos
secara berhemah.
“Seiring dengan prestasi kewangan tersebut, KOPETRO mengumumkan agihan dividen kepada anggota bagi tahun kewangan 2025 dengan dividen syer sebanyak 7.5 peratus
dan dividen yuran sebanyak 4.3 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025,” katanya.
Ahmad Nizam memberitahu, bagi meneruskan momentum kejayaan ini di masa hadapan, KOPETRO telah memulakan pelaksanaan inisiatif FORWARD30, pelan transformasi jangka panjang bagi memastikan kelestarian dan daya saing menjelang 2030 selain pelancaran Kempen Tambah Syer & Menang 2.0. – MalaysiaGazette
















