Calon PH DUN Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin mendengar isu yang dibangkitkan anak muda di kawasan itu.

MUAR – Anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang khususnya di Kampung Mor boleh menarik nafas lega selepas kemudahan gelanggang futsal di kampung itu mendapat perhatian untuk dinaik taraf oleh calon Pakatan Harapan (PH), Ayna Soraya Badaruddin.

Menurut Ayna Soraya, beliau memberi komitmen khusus buat golongan belia untuk mengusahakan projek baik pulih, menaik taraf dan memperkasakan semula kemudahan sukan di kawasan itu.

Ujarnya, ia bagi memastikan kemudahan tersebut lebih selamat, kondusif dan selesa untuk digunakan.

“Anak muda Sungai Balang berhak mendapatkan fasiliti yang terbaik. Terima kasih atas sambutan yang cukup bertenaga malam tadi,” katanya.

Calon PH DUN Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin ketika menyertai anak muda dalam perlawanan persahabatan futsal malam tadi.

Terdahulu, Ayna Soraya turun padang meninjau fasiliti gelanggang futsal di Kampung Mor dalam siri kempennya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Beliau turut diiringi Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Muhammad Nabil Halimi yang turut menganjurkan perlawanan persahabatan futsal bersama anak muda setempat.

Menurut Ayna Soraya, ketika turun padang meninjau padang futsal itu, beliau melihat sendiri keadaan fasiliti di situ, yang memang jelas memerlukan kepada pembaharuan.

“Gelanggang sukan seperti ini bukan sekadar tempat bermain, tetapi ia adalah pusat komuniti di mana anak muda berkumpul secara sihat,” katanya.

Keperluan kepada kemudahan fasiliti sukan yang sempurna dan lengkap khususnya padang bola dan gelanggang futsal antara yang dibangkitkan anak muda setempat termasuk di DUN Sungai Balang.

Bagi mereka, keperluan seperti itu bukan sahaja dapat menggalakkan belia terlibat dalam aktiviti riadah yang bermanfaat, malah boleh melahirkan jaguh sukan masa depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast