Datuk T Murugiah.

JOHOR BAHRU – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tidak berasas dan hanya bertujuan menakut-nakutkan pengundi.

Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk T. Murugiah menegaskan, keputusan berkaitan pengampunan diraja tidak berada di bawah kuasa mana-mana parti politik sebaliknya tertakluk kepada proses yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Lembaga Pengampunan mempunyai mekanisme serta keanggotaan yang jelas sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan bukannya ditentukan oleh kemenangan BN dalam pilihan raya.

“Jangan menakut-nakutkan rakyat dengan mengatakan jika BN menang besar di Johor, Datuk Seri Najib akan dibebaskan.

“Itu bukan kuasa BN dan bukan kuasa mana-mana parti politik,” katanya ketika berucap Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat India pada ceramah kempen BN di Perling malam ini.

Murugiah menjelaskan, sebarang keputusan mengenai pengampunan diraja melibatkan Yang di-Pertuan Agong selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan, Peguam Negara, Menteri Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik mengikut peruntukan undang-undang.

“Lembaga Pengampunan yang mempunyai bidang kuasa untuk mempertimbangkan dan membuat keputusan berhubung sesuatu permohonan pengampunan,” katanya.

Dalam pada itu, Murugiah turut menolak dakwaan pembangkang kononnya institusi Kesultanan Johor mencampuri urusan politik negeri termasuk dalam pemilihan calon BN.

Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tuduhan tidak berasas dan menegaskan tiada bukti yang menunjukkan Sultan Johor terlibat dalam menentukan calon yang bertanding bagi pihak BN.

“Saya melihat sepanjang berada di Johor, isu yang dimainkan pembangkang hanyalah dakwaan bahawa institusi kesultanan mencampuri politik dan kononnya calon BN dipilih oleh Sultan Johor. Dakwaan itu tidak berasas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast