KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia meningkatkan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhand (PUNB) sekiranya agensi pembangunan usahaaan Bumiputera itu terus menjalankan peranannya dengan baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memuji PUNB yang ketika ini telah melaksanakan keputusan dengan jelas dan telah menjalinkan kerjasama dengan agensi Bumiputera lain.
“Kalau mereka lakukan dengan baik, kita akan tingkatkan. Sekarang ni, PUNB antara agensi yang melaksanakan dengan keputusan telah kita jelaskan dan jalin kerjasama dengan semua agensi Bumiputera yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir merasmikan Spark 2026: Transformasi Niaga anjuran PUNB di IOI City Mall di sini hari ini.

Sebelum ini, sebagai sebahagian daripada hala tuju jangka panjang di bawah Kerangka Strategik R30, PUNB menyasarkan kelulusan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Sasaran kelulusan pembiayaan itu bertujuan mempercepat pertumbuhan syarikat Bumiputera, meningkatkan keupayaan skala komersial, mencipta peluang pekerjaan berkualiti serta mengukuhkan rantaian bekalan utama negara.
Sejak penubuhannya pada tahun 1991, PUNB telah membantu membangunkan lebin 15,500 Rakan Usahawan melalui pelbagai program pembiayaan dan sokongan
perniagaan.
Jumlah pembiayaan yang telah diluluskan pula mencecah RM5.15 bilion, meliputi pelbagai sektor perniagaan Bumiputera. – MalaysiaGazette

















