Setiausaha Agung MCA, Saw Yee Fung.

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menggesa kerajaan menggantung serta -merta pelantikkan Tan Sri Azam Baki sebagai Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), susulan pelbagai kontroversi berkait bekas Ketua Peseuruhajaya Suruhanjaya Pengcegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu belum terungkai.

Setiausaha Agungnya, Saw Yee Fung berkata, kerajaan juga perlu memberikan penjelasan penuh dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menentukan fakta sebenar.

Katanya, usaha memulihkan keyakinan terhadap institusi antirasuah negara memerlukan ketelusan, akauntabiliti serta iltizam politik untuk meletakkan integriti mengatasi kepentingan individu.

“Meskipun beliau tidak lagi memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam masih dibayangi pelbagai persoalan serius yang belum terjawab berhubung integritinya, termasuk dakwaan penyalahgunaan kuasa, pemilikan saham yang luar biasa serta dakwaan digelar sebagai ‘mafia korporat’.

“Selagi semua perkara ini tidak disiasat secara bebas dan diputuskan secara muktamad, NFCC wajar menggantung pelantikan beliau sebagai ahli lembaga penasihat demi memelihara integriti institusi dan keyakinan rakyat.

“NFCC bukan sekadar badan penasihat biasa sebaliknya merupakan platform utama negara dalam menyelaras usaha pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan jenayah kewangan.

“Ia melibatkan pelbagai agensi utama, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yee Fung berkata, sejajar dengan mandat diberikan kepada NFCC, individu yang dilantik sebagai penasihat bukan sahaja perlu memiliki kepakaran, ia memerlukan integriti yang tidak boleh dipersoalkan serta mendapat kepercayaan penuh masyarakat.

“Sukar untuk menerima penjelasan kerajaan bahawa pelantikan Azam dibuat atas kapasiti peribadi memandangkan lembaga penasihat NFCC turut dianggotai pemimpin tertinggi institusi negara seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN serta Timbalan Gabenor BNM.

“Sekiranya Azam tidak pernah berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, adakah beliau akan dicalonkan dan dilantik ke jawatan sedemikian? Jawapannya jelas,” ujarnya.

Tambah beliau, memandangkan pelbagai kontroversi masih belum diselesaikan, tindakan yang sewajarnya adalah Azam perlu mengundurkan diri daripada sebarang pelantikan awam berprofil tinggi.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan kebebasan mana-mana siasatan yang sedang berjalan serta memelihara keyakinan rakyat terhadap intergriti institusi negara.

“Lebih membimbangkan, isu kontroversi berkait Azam telah berlarutan selama bertahun-tahun tanpa penyelesaian, manakala desakan pelbagai pihak termasuk ahli politik, pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai supaya RCI ditubuhkan terus tidak diendahkan.

“Keengganan kerajaan menubuhkan RCI akan menimbulkan persoalan mengapa siasatan bebas tidak dibenarkan dan mengapa Azam terus dipertahankan walaupun pelbagai kontroversi masih membayangi tempoh perkhidmatannya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast