KULAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Awnar Ibrahim bersetuju Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan lagi pada masa hadapan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara tersebut bagaimanapun tidak boleh diumumkan sekarang.
“Boleh, tapi tak boleh umum sekarang. Orang sudah sokong Kerajaan Madani, kita bantu apa yang ada kerana kita tak berani, tak benarkan orang sakau rakyat punya duit.
“Duit balik pada rakyat ya. Tapi, you kena beraturkah (untuk dapat sumbangan daripada) program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), tak ada.
“You kena beraturkah STR (Sumbangan Tunai Rahmah)? Tak ada. Ada family dapat RM1,400, you beratur? Tak ada. Ada yang tinggi kalau anak ramai sampai RM1,800. Tak ada beratur,” katanya ketika berucap dalam Program Kita Geng Madani Anak Muda Bukit Batu di Jalan Tropika di sini hari ini.
Anwar dalam pada itu menyindir tindakan kerajaan negeri yang mengagihkan bantuan kepada rakyat menggunakan kaedah lama sehingga memaksa orang ramai beratur berjam-jam.
“Kalau tidak tahu (beri sumbangan ikut cara SARA atau STR) mahu buat macam mana, tukar kerajaanlah. Ada kata, kalau tukar kerajaan habislah orang Melayu, saya jadi Perdana Menteri sudah tiga tahun lebih, habis ke Melayu?” soalnya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan Persekutuan ditunjungi Pakatan Harapan (PH) baru tiga tahun memerintah dan tempoh itu terlalu singkat untuk memperbetulkan semua kesalahan kerajaan terdahulu yang sudah 65 tahun memerintah negara.
“Kita mahu bagi betul dua tiga tahun semua mesti betul, tak ada. Itu pun dalam tiga tahun minyak sudah turun,” ujar beliau.- MalaysiaGazette
















