JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membuat kejutan apabila hadir ke program Dialog Terbuka Belia yang dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim Felda Ulu Tebrau di sini malam ini.
Kehadiran bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO itu turut disambut Perdana Menteri yang bersalaman dan berpelukan ketika tiba ke program tersebut pukul 9.40 malam.
Mohd Puad berkata, kehadirannya ke program tersebut bagi memenuhi jemputan rakannya selain menyatakan sokongan kepada calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Dr Maszlee Malik.
Terdahulu, Mohd Puad mengumumkan sokongan kepada calon PH, Mohamad Yazid Bakri yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.
Mohd Puad yang juga bekas Speaker DUN Johor berkata, beliau membuat pilihan berdasarkan peribadi calon dan bukan lagi atas faktor parti.
“Sekarang saya tidak berparti. Saya pilih calon kerana peribadi calon. Justeru saya pilih saudara Yazid kerana calon berkenaan merupakan anak jati Rengit.
“Beliau juga menetap di kawasan tersebut, memiliki rumah di Rengit serta merupakan pengerusi sebuah surau di Rengit,” katanya menerusi poster tersebut.
Sebelum ini, Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada 25 Jun lalu.
Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki kemudian mendakwa Mohd Puad pernah mengugut untuk keluar parti dan mengkritiknya secara terbuka jika anaknya tidak dicalonkan bagi kerusi Rengit.
Mohd Puad menang kerusi DUN Rengit pada PRN Johor 2022 dengan majoriti undi sebanyak 1,920.
Beliau memperoleh 7,903 undi secara keseluruhan, menewaskan tiga calon lain daripada Perikatan Nasional (PN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).- MalaysiaGazette
















