JOHOR BAHRU – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya ibarat berada di tengah-tengah hidangan sandwich namun menegaskan tetap memilih untuk mengetepikan perbezaan politik demi memastikan negara terus menikmati kestabilan pentadbiran.
Presiden UMNO itu berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan berdasarkan kehendak mana-mana parti sebaliknya lahir daripada keperluan membentuk sebuah kerajaan yang stabil selepas tiada gabungan memperoleh majoriti mudah.
Menurutnya, sebagai pemimpin BN beliau menerima tanggungjawab itu secara profesional walaupun terpaksa bekerjasama dengan parti-parti yang sebelum ini merupakan seteru politik.
“Di pusat saya macam sandwich. Sebelah saya Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebelah lagi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
“Tetapi saya profesional. Kerajaan ini dibentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong demi rakyat dan negara,” katanya ketika berucap pada Himpunan Anak Tiram di Kota Masai malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, ramai tidak memahami bahawa ketika itu sebanyak 112 kerusi Parlimen diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Walaupun BN hanya memenangi 30 kerusi, katanya, gabungan itu membuat keputusan bersama demi memastikan negara tidak terus berdepan ketidaktentuan politik.
“Mereka (PH) sepatutnya berterima kasih kepada BN kerana tanpa 30 kerusi ini, jumlah yang mereka ada ketika itu tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, keadaan di Johor pula berbeza kerana kerajaan negeri dipimpin sepenuhnya oleh BN manakala di peringkat Persekutuan BN merupakan sebahagian daripada kerajaan.
Beliau berkata, keadaan itu membuktikan BN mampu memainkan peranan di kedua-dua peringkat tanpa mengabaikan kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette
















