13 pasangan Orang asli di Kuantan yang menyertai Program Walimatul Urus dan Nikah Perdana Saudara Muslim Orang Asli anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

KUANTAN – Seramai 13 pasangan Orang Asli disatukan menerusi Program Walimatul Urus dan Nikah Perdana Saudara Muslim Orang Asli anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, sebanyak RM60,000 daripada dana zakat diperuntukkan bagi menjayakan majlis melibatkan kesemua pasangan mualaf Orang Asli berkenaan.

Beliau berkata, MUIP menyediakan dana khusus bagi membantu golongan mualaf yang baharu memeluk Islam dan ingin membina kehidupan berkeluarga tanpa dibebani kekangan kewangan.

“Ini merupakan skim yang telah disediakan oleh pihak majlis bagi menggunakan dana zakat untuk golongan mualaf yang baru masuk Islam dan mendirikan rumah tangga.

“Pihak pengantin hanya perlu membayar mas kahwin sebanyak RM100 kepada pasangan masing-masing sahaja. Yang selebihnya ditanggung oleh pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang,” katanya ketika ditemui.

Menurut Asmadi, pengantin lelaki hanya perlu menyediakan mas kahwin manakala segala keperluan lain termasuk pakaian pengantin, sewaan dewan, jamuan, jurugambar dan pelbagai persiapan majlis ditanggung sepenuhnya oleh MUIP.

Majlis yang berlangsung meriah itu dihadiri kira-kira 650 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat pasangan pengantin.

Acara dimulakan dengan majlis akad nikah yang dikendalikan Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan sebelum diteruskan dengan persandingan dan jamuan.

Jelas Asmadi, MUIP turut bekerjasama dengan Pejabat Agama Islam Daerah Pahang Barat menganjurkan kursus susulan berteraskan modul keibubapaan sebagai persediaan kepada pasangan berkenaan membina institusi keluarga yang kukuh.

Bagi pengantin baharu dari suku kaum Semaq Beri, Izzat Mohd. Zaki, 22, bantuan yang diterimanya itu berjaya merealisasikan hasrat dia dan pasangan untuk mendirikan rumah tangga tanpa tekanan memikirkan kos penganjuran majlis.

“Mas kahwin saya sendiri, duit sendiri. Cuma buat makan-makan ni semua ustaz-ustaz semua kat sini yang buat ni lah.

“Saya berterima kasihlah kepada ustaz semua di sini kerana membuat majlis perkahwinan untuk orang asli Sungai Lembing dan kampung-kampung lain,” katanya yang berasal dari Sungai Pergam, Kemaman, Terengganu.

Seorang lagi pengantin daripada suku kaum Jakun, Nurul Fatiah Farid Nur Fitri, 20, pula bersyukur kerana tidak perlu memikirkan pengurusan majlis perkahwinan kerana dia dan pasangan masing-masing bekerja dan tidak mempunyai banyak masa membuat persiapan.

“Rasa mudahlah, sebab kita orang kerja kan, lepas tu tak ada masa sangat. Lepas tu bila dah ada program macam ni, senanglah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast