Alwiyah ketika berkempen sebagai calon BN bagi DUN Endau di bandar Mersing, malam tadi

MERSING Julai – Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) mula merangka pelan jangka panjang bagi menghadapi cabaran Sukan SEA 2027.

Presiden PBJM, Alwiyah Talib berkata, fokus utama melibatkan pemilihan pemain, latihan intensif serta pendedahan antarabangsa bagi memastikan skuad negara kekal kompetitif di rantau ini.

“Persiapan awal amat penting memandangkan saingan di peringkat Asia Tenggara kini semakin sengit, khususnya daripada pasukan seperti Singapura yang kekal menjadi pencabar utama dalam acara bola jaring.

“Kejayaan Malaysia mengekalkan pingat emas pada edisi terdahulu menjadi asas kukuh untuk membina keyakinan pasukan, namun usaha berterusan diperlukan bagi memastikan momentum tersebut tidak terhenti.

“Untuk sekarang ini saya sendiri berasa bangga kerana pencapaian sebelum ini menunjukkan Malaysia masih mampu mengekalkan emas walaupun berdepan cabaran besar. Tetapi untuk Sukan SEA 2027, kita tidak boleh bergantung kepada pencapaian lalu sahaja,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Beliau yang merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditemui ketika berkempen di bandar ini.

Menurut Alwiyah, proses pembangunan skuad negara kini berada di fasa awal melibatkan pengumpulan pemain dalam senarai panjang hasil pemantauan kejohanan peringkat remaja dan senior yang sudah berlangsung sepanjang tahun ini.

Daripada senarai tersebut katanya, panel pemilihan akan menilai prestasi dan menyaring pemain kepada sekitar 20 calon sebelum disenarai pendekkan lagi kepada kira-kira 12 pemain utama menjelang fasa latihan pusat intensif.

“Sekarang kita sudah kumpulkan pemain daripada skuad remaja dan senior. Daripada situ kita akan tapis kepada 20 orang dan kemudian 12 pemain terbaik akan dipilih untuk persiapan akhir ke Sukan SEA 2027,” jelasnya.

Beliau berkata PBJM turut merancang memperkukuh program latihan pusat dengan cadangan mewujudkan skuad sepenuh masa di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan pemain dapat memberi fokus sepenuhnya kepada latihan tanpa gangguan komitmen kerja atau pengajian.

“Kalau boleh kita mahu pemain ini berada dalam program sepenuh masa. Mereka akan diberi latihan intensif serta elaun bulanan supaya tidak terbeban dengan soal kewangan. Ini penting untuk memastikan prestasi mereka benar-benar berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Selain latihan domestik, PBJM turut merancang beberapa siri pendedahan antarabangsa termasuk kem latihan luar negara seperti di Australia yang sebelum ini terbukti berkesan meningkatkan tahap permainan pemain negara.

Alwiyah berkata, program latihan di Perth, Australia selama 12 hari sebelum ini memberi impak positif terutama daripada segi taktikal, kecergasan serta pemahaman permainan berintensiti tinggi.

“Latihan di luar negara sangat membantu kerana pemain didedahkan dengan corak permainan lebih pantas dan fizikal. Kita juga mendapat khidmat jurulatih berpengalaman yang pernah melatih skuad negara sebelum ini,” ujarnya.

Menurut beliau, PBJM juga sedang meneliti kemungkinan untuk memperluaskan kerjasama dengan jurulatih luar termasuk mengekalkan khidmat pakar teknikal dari Australia bagi tempoh persediaan jangka panjang ke Sukan SEA 2027.

Mengulas cabaran akan datang, Alwiyah mengakui saingan Singapura dijangka kekal sengit, namun yakin dengan perancangan rapi dan komitmen pemain, Malaysia mampu memberi saingan seimbang sekali gus mempertahankan kedudukan sebagai antara kuasa utama bola jaring serantau.

“Yang penting sekarang ialah disiplin, komitmen dan kesinambungan latihan. Jika semua ini dapat dikekalkan, saya yakin kita mampu bersaing dan membawa pulang keputusan terbaik di Sukan SEA 2027,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast