KUANTAN – Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya merempuh sebuah gerai menjual buah-buahan dalam kejadian di Kilometer 1, Jalan Temerloh-Mentakab, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.24 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa memandu sebuah Proton Wira Aeroback dari arah Temerloh menuju ke Mentakab sebelum dipercayai hilang kawalan apabila tiba di lokasi kejadian.
“Akibat hilang kawalan, kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan lalu merempuh sebuah gerai menjual buah-buahan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Nasyim, kereta itu kemudian melanggar tiang elektrik sebelum merempuh sebuah lagi Proton Wira Aeroback yang diletakkan berhampiran gerai berkenaan menyebabkan bahagian hadapan dan belakang kenderaan mangsa rosak.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 46 tahun mengalami kecederaan pada bahagian muka dan menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Temerloh.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59). – MalaysiaGazette
















