Tangkap layar video yang tular memaparkan dua lelaki memukul seorang lelaki dalam kejadian dipercayai di JB Sentral, Johor Bahru, kelmarin

JOHOR BAHRU – Polis sedang menyiasat dan mengesan beberapa individu yang terbabit dalam kes pukul di sebuah stesen bas di bandar raya ini, kelmarin.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan mengesan video tular dimuat naik dalam media sosial memaparkan kejadian seorang lelaki dipukul dua individu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pada masa sama IPD Johor Bahru Selatan menerima laporan kejadian itu pukul  4.30 petang kelmarin.

“Siastan mendapati kes pukul membabitkan beberapa lelaki dipercayai berlaku pada pukul 7.27 pagi kelmarin

“Punca kejadian masih belum diketahui dan usaha mengesan suspek-suspek yang terbabit sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video berkenaan dalam media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di 07-2182323.

Menerusi ruangan komen berkenaan video itu dalam media sosial, kejadian difahamkan berlaku di bangunan JB Sentral.

Kejadian disaksikan sekumpulan individu yang sedang menunggu bas di bangunan berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast