SEMENYIH – Di sebalik ledakan penggunaan kecerdasan buatan (AI), sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam membuktikan teknologi itu turut mampu menjadi medium mengubat kesunyian warga emas.
Program khidmat komuniti itu diadakan di Pusat Jagaan Mahmudah, di sini semalam melibatkan 27 mahasiswa Semester 7 program Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Antarapersonal.
Heart2Hope: Spreading Care, Inspiring Hope menggabungkan elemen komunikasi, empati dan inovasi menerusi Terapi Memori Kreatif berasaskan AI untuk membantu penghuni mengimbau kenangan manis.
Ia diketuai Beno Mustapha dengan sokongan Fatin Ismail, Azura Yusof dan Maslinda Md Zain yang antara lalin mengeratkan hubungan antara generasi serta memupuk nilai ehsan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
“Program ini bukan sekadar memenuhi tugasan akademik, malah menjadi platform untuk mahasiswa mendengar, memahami dan berkongsi kasih sayang dengan golongan warga emas yang sering berdepan kesunyian.
“Melalui interaksi secara langsung, kami belajar bahawa perhatian dan masa yang diberikan kepada mereka jauh lebih bermakna daripada apa juga bentuk bantuan material,” kata Beno dalam kenyataannya.

Sepanjang program, pelbagai aktiviti diadakan termasuk Terapi Memori Kreatif berasaskan AI, sesi Memory Challenge, senamrobik ringan dan gotong-royong menceriakan kawasan pusat jagaan.
Sementara itu, Ahmad Firman berkata, program tersebut memberi peluang kepada mahasiswa mengenali kehidupan warga emas dengan lebih dekat.
“Kadangkala kita terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga terlupa ada golongan yang sangat memerlukan perhatian dan kasih sayang,” katanya.
Seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Yah berkata, kehadiran mahasiswa membawa kegembiraan kepada penghuni pusat jagaan.
“Dengan kehadiran pelajar ini, kuranglah sikit rasa sunyi apabila ada orang dengar cerita dan layan kami dengan baik, itu pun sudah cukup menggembirakan apabila rasa masih dihargai,” katanya.

Dalam pada itu, jawatankuasa program turut menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM5,050 kepada Pusat Jagaan Mahmudah bagi membantu kebajikan penghuninya.
Malah, keseluruhan sumbangan dan tajaan dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan serta peralatan yang berjaya dikumpulkan dianggarkan bernilai kira-kira RM24,800.
Program Heart2Hope: Spreading Care, Inspiring Hope merupakan tugasan berkumpulan bagi subjek INC601 – Group Dynamics and Leadership di bawah bimbingan Norhayati Baba yang memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan, komunikasi dan tanggungjawab sosial mahasiswa. – MalaysiaGazette
















