Laluan Selat Hormuz

BEIJING – Negara-negara yang dianggap “bersahabat” dengan Tehran akan menerima layanan istimewa di bawah pengaturan baharu bagi laluan di Selat Hormuz, termasuk berkaitan bayaran perkhidmatan yang akan dikenakan kepada kapal yang melaluinya.

Dalam ucapannya di Forum Keamanan Dunia di Beijing pada hari Sabtu, Duta Iran ke China, Abdolreza Rahmani Fazli, menegaskan, Iran akan mengenakan bayaran perkhidmatan terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz, walaupun cadangan itu sebelum ini ditolak oleh Amerika Syarikat (AS).

Perjanjian awal yang dicapai antara Iran dan AS bagi menamatkan peperangan menetapkan bahawa kapal dagang dibenarkan melalui Selat Hormuz tanpa dikenakan bayaran selama 60 hari.

Namun, masih belum jelas apakah mekanisme yang akan dilaksanakan selepas tempoh tersebut berakhir.

Rahmani Fazli berkata, Iran kini sedang bekerjasama dengan Oman bagi merangka “pengaturan baharu” untuk laluan perairan strategik itu.

“Sebagai sebuah negara yang Selat Hormuz merupakan sebahagian daripada perairan wilayahnya, kami pasti akan mengenakan bayaran perkhidmatan,” katanya menerusi ucapan yang diterjemahkan sambil menegaskan bayaran itu bukanlah satu bentuk tol.

Menurut beliau, pengaturan baharu itu bertujuan menjamin keselamatan pelayaran melalui Selat Hormuz, menyelia pergerakan kapal serta menangani kesan alam sekitar akibat jumlah kapal yang begitu besar melalui laluan tersebut.

“Kami pastinya akan memberikan layanan istimewa kepada negara-negara yang bersahabat dengan kami dan yang berdiri bersama kami ketika menghadapi saat-saat sukar,” katanya.

Selat Hormuz lazimnya menjadi laluan bagi kira-kira satu perlima daripada penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia. Bagaimanapun, laluan itu hampir ditutup sepenuhnya oleh Iran semasa perang di Asia Barat, sekali gus menyebabkan harga tenaga global melonjak.

Iran kemudian menarik balik sekatan di Selat Hormuz selepas mencapai perjanjian awal dengan AS bagi menamatkan konflik tersebut. Rundingan ke arah penyelesaian muktamad perang itu masih diteruskan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast