KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yakin masyarakat India kini bersedia memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan sambutan luar biasa masyarakat India pada satu program bersama BN apabila orang ramai mula memenuhi lokasi seawal jam 6 petang.
“Insya-Allah, saya cari mana-mana masyarakat India sudah bersedia untuk 11 haribulan untuk memilih empat-empat calon. Tiga orang anak muda dan seorang calon lama,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India, di Perling malam ini.
Azeez juga berkata, perkembangan itu memberi petanda berlakunya perubahan besar dalam corak sokongan pengundi di Johor menjelang hari pengundian.
“Saya yakin dengan apa yang kita hajatkan dan niatkan. Saya percaya satu perkara besar akan berlaku di negeri Johor,” katanya.
Azeez juga berkata, kehadiran masyarakat India pada program berkenaan memberi gambaran positif terhadap penerimaan komuniti itu terhadap BN.
“Saya sanggup membatalkan urusan lain bagi menghadiri program malam ini atas arahan kepimpinan parti.
“Saya juga menzahirkan penghargaan kepada masyarakat India yang hadir memberikan sokongan kepada BN pada malam ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















