Mohd Sohaimi Ishak

PASIR GUDANG -Seorang wanita warga emas kerugian RM250,000 selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dalam talian tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan sehingga 10 peratus sehari.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa merupan seorang suri rumah warga tempatan berusia 61 tahun.

Beliau memberitahu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerima laporan daripada mangsa, semalam yang mendakwa menjadi mangsa dalam kejadian tersebut.

“Mangsa pada mulanya tertarik dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan antara 5 hingga 10 peratus sehari dalam tempoh singkat.

“Yakin dengan tawaran ini, mangsa membuat dua transaksi pembayaran ke dalam dua akaun bank berbeza pada 28 April lalu berjumlah RM250,000 yang merupakan simpanan peribadinya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bagaimanapun, selepas membuat pelaburan, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.

Sebaliknya kata Mohd Sohaimi, mangsa diminta membuat bayaran tambahan bagi tujuan menuntut keuntungan tersebut.

“Mangsa kemudian menyedari telah ditipu selepas mendapati tiada sebarang pulangan diterima walaupun tempoh pelaburan sudah berlalu, sekali gus mengakibatkan kerugian keseluruhan RM250,000,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah dalam tempoh singkat.

Tambahnya, orang awam juga digesa membuat semakan terlebih dahulu melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum melabur selain tidak berkongsi maklumat perbankan kepada pihak tidak dikenali.

Polis turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan portal Semak Mule bagi menyemak nombor akaun mencurigakan serta mengikuti saluran rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bagi mendapatkan maklumat terkini modus operandi penipuan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast