TANGKAK – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghargai sokongan kepimpinan Pas kepada calon-calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun tidak mengesahkan wujud pakatan rahsia antara kedua-dua pihak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sokongan tersebut adalah pendirian yang dibuat oleh kepimpinan Pas dan BN menghormati keputusan berkenaan.
“Kita menghargai sokongan itu dan kita tidak merasakan bahawa sokongan itu akan mempengaruhi pakatan atau kerjasama yang telah dibuat oleh UMNO dan Pas.
“Kita menghormati pendirian mereka dan kita harap sokongan itu benar-benar menjadi kenyataan di dalam kertas-kertas undi yang akan dibuka pada 11 Julai nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina di Medan Selera Tangkak Jaya di sini hari ini bersama calon MCA Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Datuk Haw Chin Teck.
Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada sokongan PAS kepada calon-calon BN, termasuk calon daripada MCA dan MIC, menunjukkan wujudnya secret pact (pakatan rahsia) atau electoral pact (pakatan pilihan raya) antara kedua-dua pihak.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan arahan kepada ahli dan penyokong parti itu supaya mengundi calon BN pada PRN Johor turut melibatkan calon bukan Melayu daripada MCA dan MIC yang bertanding di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak memenangi kerusi berkenaan sekali gus membuka laluan DAP menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Johor.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, sokongan pengundi Cina terhadap gabungan itu menunjukkan peningkatan ketara pada PRN Johor kali ini.
Menurutnya, ia berdasarkan kajian yang dilakukan mengikut sambutan pengundi di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan saluran. – MalaysiaGazette
















