KUALA LUMPUR – Tindakan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) bagi projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) disifatkan tidak menghormati kepentingan Malaysia dalam hubungan dua hala.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia yang amat kesal dan kecewa dengan tindakan itu kerana ia turut mencalar prinsip perjanjian, komitmen dan kepercayaan yang menjadi asas kerjasama antarabangsa.
Menurutnya, apatah lagi negara telah memenuhi semua obligasi di bawah kontrak termasuk membuat pembayaran mengikut syarat yang dipersetujui serta bertindak secara telus berasaskan kepercayaan terhadap rakan strategiknya.
“Walaupun isu ini dilihat sebagai pembatalan lesen eksport sebuah sistem pertahanan, hakikatnya ia merupakan satu perkara yang jauh lebih besar dan serius.
“Ia sebenarnya satu tindakan yang mencalar prinsip perjanjian, komitmen dan kepercayaan antarabangsa. Perjanjian yang dimeterai adalah berasaskan kepercayaan dan persefahaman antara dua negara bagi memenuhi keperluan pertahanan,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan mengenai pembatalan kelulusan lesen eksport peluru NSM oleh Norway.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, tindakan Norway itu turut mewujudkan satu duluan yang tidak wajar dan berpotensi menjejaskan keyakinan terhadap komitmen antarabangsa.
Tegasnya, sekiranya sebuah negara yang selama ini dikenali sebagai pendukung keamanan dunia sanggup mengetepikan komitmen yang dipersetujui, ia akan menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti dan kebolehpercayaan perjanjian antarabangsa.
“Bagaimana kita boleh terus memperkukuh kerjasama pertahanan antarabangsa sekiranya wujud ketidakpercayaan dan keraguan akibat teladan seperti ini?
“Kepercayaan adalah asas utama Malaysia bekerjasama dengan banyak negara sahabat bagi mempertahankan keamanan serantau dan kedaulatan negara.
“Hari ini ia berlaku antara Norway dan Malaysia, esok mungkin negara lain pula akan berdepan situasi yang sama,” katanya.
Beliau menambah, hubungan antara negara tidak lagi akan dipandu oleh prinsip saling mempercayai dan menghormati, sebaliknya dipengaruhi pertimbangan politik serta kepentingan negara tertentu sekiranya tindakan sedemikian menjadi kebiasaan,
“Tindakan seperti ini merupakan perkembangan yang amat membimbangkan dalam landskap geopolitik semasa kerana ia boleh menghakis keyakinan terhadap sistem kerjasama antarabangsa yang dibina berasaskan komitmen dan kepercayaan bersama,” katanya. – MalaysiaGazette
















