Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Ramkarpal Singah berucap pada Ceramah Harapan di Bilik Gerakan Pakatan Harapan DUN Perling, Taman Perling, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 06 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mendakwa kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mungkin membuka ruang kepada usaha mendapatkan pengampunan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi tidak memberikan kemenangan terlalu besar kepada BN kerana mendakwa keadaan itu boleh menyebabkan UMNO kembali kepada budaya politik lama selain menjejaskan kestabilan kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak boleh biarkan UMNO menang terlalu besar. Nanti mereka kembali seperti dahulu dan menjadi angkuh.

“Kita juga mendengar kemungkinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menerima pengampunan.

”Perkara itu tidak boleh dibiarkan berlaku, keluarlah ramai-ramai beri undi kepada PH,” katanya ketika berucap pada ceramah Pakatan Harapan (PH) di Perling, malam ini.

Penyokong Pakatan Harapan yang hadir pada Ceramah Harapan di Bilik Gerakan Pakatan Harapan DUN Perling, Taman Perling, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 06 JULAI 2026.

Ramkarpal turut mempersoalkan tindakan yang didakwanya boleh mencetuskan ketidaktentuan politik sedangkan kerajaan Persekutuan sepatutnya diberi ruang meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Kenapa mahu ganggu kestabilan kerajaan Persekutuan? Kerajaan sepatutnya boleh terus memberi tumpuan kepada agenda demi rakyat, jadi ini salah siapa? UMNO,” katanya.

Beliau turut mendakwa UMNO masih memainkan sentimen kaum dalam usaha meraih sokongan walaupun negara kini memerlukan politik yang lebih sederhana dan menyatukan rakyat.

Katanya, naratif sesuatu kaum hanya boleh diwakili oleh parti tertentu tidak lagi sesuai dalam landskap politik semasa kerana rakyat semakin matang dalam membuat pilihan.

Menurut beliau, pengundi Johor juga perlu melihat PRN kali ini sebagai peluang untuk memastikan usaha pembaharuan institusi di peringkat Persekutuan dapat diteruskan tanpa gangguan politik.

Ramkarpal berkata, antara pembaharuan yang perlu diberi perhatian ialah memastikan sistem pendakwaan negara benar-benar bebas daripada sebarang persepsi campur tangan atau layanan berbeza terhadap mana-mana individu.

Beliau berkata, langkah memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan antara reformasi penting yang mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Perjuangan ini masih belum selesai. Masih banyak pembaharuan yang perlu kita laksanakan demi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih adil dan berintegriti,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast