KUANTAN – Pertembungan musim buah belakangan ini menyaksikan lambakan bekalan yang mengakibatkan penurunan harga yang ketara ditambah kepelbagaian pilihan di pasaran.
Buah-buah bermusim seperti durian, rambutan, manggis dan tidak ketinggalan buah naga kini boleh diperoleh dengan harga yang lebih murah.
Ketika tinjauan MalaysiaGazette ke sebuah gerai menjual buah naga di Jalan Peramu berhadapan Maahad Tahfiz Negeri Pahang, di sini, buah naga didapati dijual pada harga serendah RM1 sebiji.
Pengusahanya, Muhammad Hakimi Mohd Murad, 27 berkata, buah naga dijual di sini boleh terjual sekitar 5.5 tan dalam masa dua hari.

“Pertengahan tahun memang musim kemuncak untuk buah-buahan termasuk buah naga. Kalau buah naga ni, cuma musim tengkujuh sahaja dia kurang sikit. Apabila dia kurang, kita tak boleh nak jual murah macam ni.
“Hari ni 5.5 tan buah naga sampai, mungkin lusa akan sampai lagi. Tapi, kalau hari minggu memang laku,” katanya.
Jelasnya, bekalan buah naga diperoleh dari kebun di Sepang, Selangor; Port Dickson, Negeri Sembilan serta Melaka.
Salah seorang pengguna, Zulkifli Ngah, 32, dia tidak melepaskan peluang membeli buah naga susulan harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding di pasar raya.
“Rasa dia manis. Saya beli 10 biji untuk anak berusia 3 tahun. Dia gemar buah naga. Mungkin tiga hari boleh habis ni sebab dia gemar buah naga sejak kecil.
“Bila harga dah murah ni, boleh la kita nak merasa (buah naga). Daripada beli di pasar raya, lebih mahal. Sebab di pasar raya dijual secara timbang,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Sementara itu, seorang suri rumah, Norkhairunisa Ishak, 36 berkata, orang ramai patut merebut peluang ketika harga buah naga murah ketika ini.
“Saya beli untuk diri sendiri sebab saya memang suka makan buah. Saya selalu je beli (buah naga) di sini. Memang berbaloi la boleh beli dengan harga macam ni.
“Jadi, tiada alasan lagi. Semua orang boleh makan buah,” katanya.

Sebelum ini, buah naga dijual dengan harga sekitar RM3 sebiji atau RM10 sehingga RM16 sekilogram, namun ketika pertembungan musim buah sekitar bulan Jun sehingga Ogos tahun ini, lambakan bekalan menyebabkan penurunan harga bagi buah terbabit. – MalaysiaGazette
















