Calon PH N.42 Johor Jaya, Lee Wern Yiing dan calon PH N.46 Perling, Alan Tee Boon Tsong menunjukkan poster mengenai Program Jelajah TVET pada sidang media di BPoint, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 06 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) tidak perlu menggunakan program jelajah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) sebagai alat dan kempen politik untuk meraih sokongan daripada golongan muda.

Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Alan Tee Boon Tsong berkata, program Jelajah TVET sepatutnya menjadi ruang untuk pelajar mengenali peluang pendidikan, kemahiran dan masa depan kerjaya mereka.

“Contohnya dalam satu poster program itu jelas tertulis: penyertaan adalah wajib. Pelajar dikumpulkan, dibawa dengan pengangkutan yang disediakan dan program ini dianjurkan oleh Pejabat Menteri Besar Johor.

“Jadi persoalannya, mengapa apabila pelajar hadir ke program pendidikan seperti ini, mereka perlu disajikan dengan cerita politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama-sama tiga calon PH yang lain di Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Senyum di sini hari ini.

Turut hadir Andrew Chen Kah Eng (Stulang), Kartiyaini Jeyapalan (Skudai), Lee Wern Yiing (Johor Jaya) dan Nor Zulaila (Tiram).

Terdahulu terdapat satu video memaparkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bercakap dan menyarankan supaya mengundi calon BN semasa program jelajah TVET.

Alan menegaskan, pelajar bukan bahan kempen dan mereka hadir kerana diwajibkan, bukan kerana mahu mendengar ceramah politik atau menjadi audiens untuk membina imej mana-mana pemimpin.

“Kalau benar mahu memperkasakan TVET, bercakaplah tentang peluang latihan, bantuan pendidikan, kebolehpasaran graduan dan pekerjaan bergaji baik.

“Jangan gunakan program wajib pelajar sebagai pentas politik. Pendidikan mesti kekal sebagai pendidikan bukan alat kempen. Mereka gunakan program jelajah TVET untuk membawa mahasiswa masuk ke dewan untuk disajikam dengan kempen politik.

“Program disyaratkan wajib kepada pelajar, jika pelajar tidak hadir pelajar akan dikira sebagai ponteng. Soalan kedua saya nak tanya kepada BN.

“Adakah pelajar hadir ke program untuk belajar atau berpolitik. Kalau benar mahu memperkasakan TVET, bercakaplah tentang peluang latihan, bantuan pendidikan, kebolehpasaran graduan dan pekerjaan bergaji baik,” katanya.

Tegasanya, jangan gunakan program wajib pelajar sebagai pentas politik.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast