Katak. - Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan memperkukuh usaha melindungi populasi katak yang semakin terancam kerana haiwan amfibia itu memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, Malaysia mempunyai 254 spesies katak dan kodok namun haiwan itu masih kurang diberi perhatian dalam usaha pemuliharaan walaupun negara diiktiraf sebagai antara 17 negara mega biodiversiti dunia.

“Katak merupakan antara haiwan yang paling bernilai dalam alam semula jadi. Kemerosotan populasi haiwan ini di seluruh dunia memerlukan perhatian segera kerana kelangsungan hidupnya berkait rapat dengan kesihatan alam sekitar kita.

“Katak juga membantu mengawal populasi serangga seperti nyamuk, lalat dan kumbang, selain menjadi sumber makanan kepada burung, ular, ikan dan mamalia di samping berfungsi sebagai penunjuk awal terhadap kemerosotan alam sekitar.

“Tanpa katak, populasi serangga boleh meningkat dengan pesat sekali gus menimbulkan risiko lebih besar terhadap kesihatan awam dan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk kepada tanaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, populasi katak kini berdepan ancaman akibat kemusnahan tanah lembap dan hutan, pencemaran daripada racun makhluk perosak, sisa industri serta kesan perubahan iklim yang menjejaskan habitat dan pembiakannya.

Katanya, setiap spesies, walau sekecil mana pun memainkan peranan dalam mengekalkan keharmonian alam semula jadi dan sekiranya katak pupus, kesannya akan melangkaui sekadar kehilangan satu kumpulan haiwan sahaja.

“Oleh itu, usaha melindungi katak bukan sekadar soal pemuliharaan hidupan liar sebaliknya ia merupakan langkah penting demi memelihara alam sekitar Malaysia serta kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.

“Justeru kita menggesa kerajaan supaya memperkukuh undang-undang alam sekitar bagi melindungi kawasan tanah lembap, sungai dan hutan.

“Para petani harus mengurangkan pergantungan kepada racun makhluk perosak yang berbahaya serta mengamalkan kaedah pertanian yang mesra alam dan bebas bahan kimia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast