Muhammad Hakimi Mohd Murad

KUANTAN – Bermula dengan membantu bapa saudara berniaga buah-buahan secara sampingan kini Muhammad Hakimi Mohd Murad, 27, berjaya memiliki perniagaan buah-buahan sendiri.

Graduan Ijazah Kejuruteraan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu nekad menceburkan diri dalam dunia perniagaan itu sejak tiga tahun lepas meskipun memperoleh pendapatan tetap bekerja sebagai seorang jurutera.

“Selepas tamat pengajian pada tahun 2022, saya sempat bekerja sebagai jurutera di Damansara di mana ketika itu bapa saudara ajak tolong berniaga.

“Tapi, lama-lama timbul rasa minat. Apabila dah rasa suka, saya berhenti kerja untuk meneruskan perniagaan sendiri pula,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, meskipun pendapatan diperoleh tidak menentu, selain penat kerana terpaksa bangun awal pagi dan tidur lewat untuk menguruskan perniagaan itu, dia mengakui segalanya terubat apabila melihat kehadiran pengunjung ke gerai jualan buah-buahannya.

Hakimi yang tinggal di Rawang, Selangor memberitahu, dia sudah hampir dua minggu membuka gerai menjual buah naga di Jalan Peramu di sini.

Bercerita mengenai perniagaannya, pemuda itu mendedahkan pernah memperoleh sekitar RM18,000 sehari hasil menjual buah naga.

“Saya daripada Selangor tapi disebabkan bekalan buah banyak, saya terpaksa buka pasaran ke luar termasuk di sini. Saya pernah menjual di banyak negeri termasuk Gua Musang, Gong Badak, Terengganu.

“Selain RM1 sebiji, di sini juga menjual buah naga pada harga RM2 sebiji dan RM10 bagi empat biji. Tapi kalau dua hari kita tengok tak terhabis, kita jual semua RM1 sebiji sebab kita dapat (meraih) pun dengan harga murah.

“Kemuncak saya jual buah naga masa di Gong Badak, Terengganu tahun lepas. Tapi kalau hari biasa boleh dapat sehingga RM6,000,” jelasnya.

Katanya, ketika ini bekalan buah naga mudah diperoleh dan dia mampu menghabiskan sekitar 5.5 tan buah naga yang didapati dari Sepang, Selangor; Port Dickson, Negeri Sembilan serta Melaka dalam masa dua hari sahaja.

Selain buah naga, dia turut menjual buah mangga dan tembikai ketika musim buah-buahan tersebut namun mengakui paling banyak memperoleh keuntungan menjual buah naga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast