KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di kawasan Jeti Ikan, Angkasa Baru, Kudat, pada pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat tanpa identiti itu kira-kira pukul 10.50 pagi.
Menurutnya, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat bersama Pasukan Polis Marin Kudat telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati mayat berkenaan adalah seorang lelaki dewasa yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an.
“Bagaimanapun, tiada dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut, manakala kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan identiti mangsa atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kudat atau pegawai penyiasat, Inspektor Ganesh Arumugam di talian 014-9052819.
Mohd Haris turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan. – MalaysiaGazette
















