KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditemui meninggal dunia di kaki lima lorong belakang deretan kedai di Taman Megah Jaya 6, Tawau petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan pada jam 3.30 petang.
“Sepasukan polis telah digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki berusia 61 tahun di tempat kejadian dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perbuatan.
“Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh badan si mati dan kawasan sekitar tempat kejadian tidak menemukan sebarang kecederaan, kesan pergelutan atau petunjuk yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jelas beliau, mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan – MalaysiaGazette
















