Calon Pakatan Harapan N.16 Sungai Balang, Soraya Badaruddin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Pasar Awam Parit Jawa, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2026.

MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin melahirkan rasa bimbang dengan peningkatan komen-komen toksik, buli siber, serta penyebaran fitnah yang tidak berasas.

Menurutnya, beliau dapat melihat budaya politik tidak matang itu yang memenuhi media sosial sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika ini.

Ujarnya, sebagai seorang yang bekerja dalam struktur pengurusan profesional, beliau melihat budaya buli siber ini bukan sahaja merosakkan emosi individu, malah ia merendahkan kualiti perbincangan politik masyarakat.

“Fitnah dan rekaan cerita langsung tidak memberi solusi kepada masalah realistik rakyat di Sungai Balang,” katanya menerusi laman sosial.

Sehubungan itu, tambah Ayna Soraya, fokus beliau dan seluruh jentera sejak hari pertama kempen PRN Johor adalah jelas iaitu membincangkan dasar, kebajikan nelayan, infrastruktur, dan masa depan komuniti.

“Kami memilih untuk tidak terlibat atau melayan sebarang provokasi digital yang tidak membina,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast