JOHOR BAHRU – Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin menyifatkan cubaan mengaitkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya akan mengelirukan pengundi.
Beliau berkata, PRN Johor diadakan bagi memilih kerajaan negeri yang akan mentadbir Johor untuk tempoh lima tahun akan datang bukan menentukan nasib mana-mana individu yang sedang menjalani proses perundangan.
“Pilihan raya negeri adalah untuk memilih kerajaan negeri, menentukan dasar, hala tuju pentadbiran serta kebajikan rakyat Johor, bukannya berkaitan proses pengampunan atau pembebasan mana-mana individu,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Hafiz yang juga Ketua Pemuda UMNO Sembrong berkata, sebarang proses pengampunan diraja mahupun pengurangan hukuman mempunyai peruntukan dan mekanisme tersendiri di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada.
Menurutnya, proses berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan keputusan PRN Johor seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu sepanjang kempen.
“Proses pengampunan mempunyai saluran yang jelas mengikut Perlembagaan, manakala pengurangan hukuman pula tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa. Ia bukan ditentukan oleh keputusan pilihan raya negeri,” ujarnya.
Beliau berkata, kempen sepatutnya memberi tumpuan kepada tawaran dasar, pembangunan negeri, peluang ekonomi serta penyelesaian terhadap isu yang dihadapi rakyat Johor bukan memainkan sentimen yang tidak mempunyai kaitan dengan PRN.
Katanya, tindakan mengheret isu tersebut hanya akan mengaburkan fokus pengundi terhadap perkara yang lebih penting, termasuk prestasi pentadbiran, keupayaan calon serta perancangan untuk memajukan negeri.
Sehubungan itu, Hafiz menggesa pengundi khususnya golongan muda, supaya membuat pilihan pada 11 Julai berdasarkan fakta, rekod dan prestasi parti yang bertanding selain menilai kemampuan mereka membawa Johor ke arah aspirasi Maju Johor 2030.
“Jangan biarkan naratif yang mengelirukan menentukan pilihan kita. Nilailah berdasarkan rekod pentadbiran, dasar dan siapa yang benar-benar mampu menjadi suara rakyat serta membangunkan Johor,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
PH, hentilah takutkan pengundi dengan isu pengampunan Najib – Mohan
















