Mantan Naib Presiden, Datuk T Mohan

JOHOR BAHRU – Mantan Naib Presiden MIC, Datuk T. Mohan mendakwa isu pengampunan diraja membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sengaja dijadikan modal politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi mempengaruhi sentimen pengundi.

Beliau berkata, naratif yang mengaitkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan pembebasan Najib bukan sahaja mengelirukan rakyat malah cuba mewujudkan persepsi keputusan pilihan raya negeri akan menentukan proses pengampunan diraja.

Menurut Mohan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana soal pengampunan diraja tertakluk kepada proses serta saluran yang telah diperuntukkan mengikut undang-undang.

“Kenapa sekarang timbul dakwaan kononnya jika BN menang PRN, Najib akan terus dibebaskan? Bukankah semua orang tahu pengampunan diraja mempunyai prosedurnya sendiri?

“Sehingga hari ini pun Najib masih belum dibebaskan. Jadi bagaimana boleh timbul persepsi bahawa kemenangan dalam pilihan raya negeri akan terus menentukan perkara itu?” soalnya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini. 

Mohan secara peribadi turut berasa kecewa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri membawa naratif PH ‘diheret’ menyertai PRN Johor kerana terdapat pihak yang mahu kembali berkuasa dan membebaskan Najib.

Katanya, sebagai pemimpin utama negara, Anwar seharusnya memberi keyakinan kepada rakyat dengan menjelaskan proses pengampunan diraja berjalan mengikut lunas undang-undang, bukannya dikaitkan dengan kempen pilihan raya.

“Kerajaan sepatutnya bercakap mengenai prestasi pentadbiran, dasar ekonomi, peluang pekerjaan dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya terus memainkan naratif politik yang hanya mengelirukan masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata, apa yang lebih menghairankan ialah pemimpin DAP antaranya Nga Kor Ming didakwa tidak pernah mempertikaikan proses pengampunan diraja apabila melibatkan Anwar selepas kemenangan PH pada 2018.

“Ketika Anwar menerima pengampunan diraja, saya tidak nampak ada pemimpin DAP mempersoalkan proses itu. Hari ini apabila melibatkan Najib, naratifnya berubah sama sekali.

“Kalau dahulu boleh menerima proses pengampunan diraja, mengapa hari ini ia dijadikan modal kempen? Mengapa perlu bersikap hipokrit?” soalnya.

Mohan berkata, cubaan mengaitkan PRN Johor dengan pembebasan Najib juga dilihat sebagai usaha menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Cina dan India.

Katanya, pengundi pelbagai kaum kini lebih matang dan mampu menilai sesuatu isu berdasarkan fakta serta memahami bahawa sebarang pengampunan diraja tidak ditentukan oleh parti politik atau keputusan pilihan raya.

“Jangan anggap masyarakat Cina dan India mudah dipengaruhi dengan perang psikologi seperti ini. Mereka sudah matang dan tahu membezakan antara proses undang-undang dengan propaganda politik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohan berkata, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada isu yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat termasuk peningkatan kos sara hidup.

“Daripada terus memainkan isu pengampunan, lebih baik kerajaan menjelaskan bagaimana mereka mahu mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penggunaan retorik politik dan perang psikologi tidak lagi berkesan kerana  rakyat kini lebih mementingkan prestasi kerajaan berbanding slogan atau serangan terhadap lawan politik.

Mengulas lanjut, Mohan secara sinis mencabar Kor Ming supaya meletakkan jawatan sekiranya dakwaan bahawa kemenangan BN akan menyebabkan Najib dibebaskan akhirnya tidak berlaku.

“Jangan mengelirukan rakyat dengan naratif yang tidak berpijak pada fakta dan proses sebenar semata-mata untuk meraih undi. Rakyat Johor sudah cukup matang untuk membuat penilaian mereka sendiri,” katanya – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PH diheret masuk PRN Johor untuk bebaskan Najib – Anwar

PH tahu sokongan semakin rapuh, sebab itu bangkitkan isu Najib -Pemerhati

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast