Calon BN N.31 Kahang, V. Rugendran (kiri) mendengar keluhan masyarakat orang asli Kg Sungai Peroh sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Kluang, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2026.

KLUANG – Di sebalik kemunculan wajah baharu berusia 29 tahun, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, V. Rugendran percaya sokongan masyarakat di kawasan itu kekal utuh kepada gabungan berkenaan hasil rekod perkhidmatan yang telah dibina sejak sekian lama.

Beliau berkata, keyakinan itu bukan sekadar berdasarkan sejarah Kahang yang sebelum ini diwakili pemimpin MIC selama beberapa penggal malah sambutan diterima sepanjang tempoh berkempen menunjukkan pengundi masih meletakkan harapan kepada BN untuk meneruskan pembangunan di kawasan berkenaan.

“Setiap kali saya turun bertemu penduduk di Pusat Daerah Mengundi (PDM), Felda , kampung Orang Asli, komuniti Melayu, Cina dan India, sambutannya amat baik.

“Saya melihat rakyat Kahang masih mahukan kesinambungan khidmat yang telah diberikan sebelum ini.

“Sudah tentu sebagai calon baharu, saya mahu meneruskan legasi itu dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya dalam temu bual bersama MalaysiaGazette.

Calon BN N.31 Kahang, V. Rugendran bercakap kepada MalaysiaGazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Sembrong, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2026.

Rugendran yang juga ahli perniagaan berkata, walaupun pertama kali diberi kepercayaan bertanding, dunia politik bukan sesuatu yang asing buat dirinya.

Katanya, minat terhadap politik bermula sejak berusia 13 tahun apabila sering mengikut bapanya yang aktif dalam MIC Bahagian Simpang Renggam menghadiri program masyarakat.

“Ketika itu saya bukan ahli parti. Saya hanya membantu di belakang tabir, daripada menguruskan katering, menyusun atur program sehinggalah membantu kerja-kerja akar umbi.

“Pengalaman itu banyak mengajar saya bahawa politik bukan sekadar berucap di atas pentas tetapi memahami denyut nadi rakyat dan menyelesaikan masalah mereka,” ujarnya lagi.

Beliau secara rasmi menyertai MIC pada 2021 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Pemuda MIC Bahagian Simpang Renggam.

Pada tahun lalu, Rugendran diberi kepercayaan sebagai Ketua Pemuda MIC Bahagian Simpang Renggam sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemuda MIC Johor kira-kira dua bulan kemudian.

Mengulas hala tuju yang ingin dibawa di Kahang, Rugendran menetapkan tiga keutamaan utama sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada PRN Johor.

Selain memberi tumpuan kepada pendidikan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda, beliau turut berhasrat membangunkan produk tempatan menerusi jenama Kahang Kita.

Calon BN N.31 Kahang, V. Rugendran bercakap kepada MalaysiaGazette sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Sembrong, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2026.

“Ramai anak muda terpaksa berhijrah ke bandar untuk bekerja kerana peluang pekerjaan di sini masih terhad. Saya mahu melihat lebih banyak peluang diwujudkan supaya mereka boleh terus membina kehidupan di Kahang.

“Dalam masa sama, kita mempunyai banyak produk tempatan yang berkualiti. Saya mahu memperkenalkan jenama Kahang Kita supaya hasil keluaran penduduk dapat dipasarkan dengan lebih meluas dan memberi pulangan yang lebih baik kepada pekebun kecil,” katanya teruja.

Menurut Rugendran, Kahang mempunyai potensi besar dalam sektor agropelancongan menerusi hasil pertanian terutama durian yang sememangnya terkenal di kawasan itu.

Beliau berkata, ketika musim durian, berlaku lambakan bekalan sehingga harga pernah jatuh serendah RM2 sekilogram sedangkan buah yang sama dijual pada harga jauh lebih tinggi di bandar lain.

“Kalau kita berjaya membina jenama Kahang, orang ramai bukan sahaja datang membeli durian tetapi mengenali kawasan ini melalui produk tempatan, makanan dan sektor pelancongan berasaskan pertanian.

“Saya percaya ini mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya.

Calon BN N.31 Kahang, V. Rugendran (tengah) bermesra dengan Pengerusi Kelab Bolasepak N Nine, Datuk Seri S Surash pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Kluang, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2026.

Selain aspek ekonomi, Rugendran  turut memberi perhatian terhadap beberapa isu yang sering dibangkitkan penduduk termasuk capaian internet lemah di beberapa kawasan, keadaan jalan raya, lampu jalan, kebajikan warga emas dan orang kurang upaya (OKU), selain kekurangan kemudahan perbankan dan mesin ATM terutama di kawasan Felda.

Beliau berkata, ada penduduk yang terpaksa memandu kira-kira 20 hingga 25 minit ke Pekan Kahang untuk mengeluarkan wang tunai, malah pernah berdepan situasi mesin ATM kehabisan wang.

“Itu mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah orang tetapi bagi penduduk luar bandar ia memberi kesan kepada urusan harian mereka. Sebab itu saya mahu membawa suara mereka dan mencari penyelesaian bersama agensi berkaitan,” katanya.

Mengulas peluang BN mempertahankan kerusi Kahang, Rugendran  optimis berdasarkan sambutan diterima sepanjang kempen, namun tetap memilih untuk terus bekerja sehingga hari pengundian.

“Umur bukan ukuran. Yang penting ialah kesungguhan untuk berkhidmat, mendengar masalah rakyat dan memastikan setiap janji yang dibuat dapat dilaksanakan.

“Itulah komitmen saya kepada seluruh warga Kahang jika diberikan mandat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast