JOHOR BAHRU – Kecederaan kaki kanan dan bersimen serta berkerusi roda tidak menghalang Sarjan Shahrizal Musa, 40, menunaikan tanggungjawab mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pagi ini.
Beliau yang bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) IPK Johor itu tetap bersemangat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
“Tanggungjawab mengundi wajib dilaksanakan walau dalam apa juga keadaan sekali pun. Saya cedera di bahagian achilles tendon (urat keting) yang koyak kerana bermain sepak takraw minggu lalu.
“Nak tak nak, memang kena pergi juga mengundi. Ini pertama kali saya mengundi dalam keadaan begini. Tak mengapa yang penting tanggungjawab mengundi itu tetap saya laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui selepas selesai mengundi pada hari undi awal di pusat pengundian awal, Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No 2, IPK Johor di sini hari ini.
Shahrizal yang tinggal di kuarters polis di Taman Kenanga, Tampoi hadir dibawa rakannya untuk mengundi seawal pukul 8 pagi.
Beliau yang sudah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 23 tahun itu tidak pernah terlepas mengundi setiap kali tiba pilihan raya.
Shahrizal yang berasal dari Seri Iskandar, Perak adalah pemain sepak takraw mewakili Kontinjen Johor sejak dipindahkan ke Kontinjen Johor sejak 2005. – MalaysiaGazette
















