KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan FC mengumumkan kehadiran penyerang berbakat, Rahman Daud apabila mengikat kontrak jangka panjang sehingga tahun 2029.
Dilahirkan di Syria dan memiliki darah kacukan Malaysia-Itali, ketajaman penyudah pemain ini di hadapan gawang terbukti apabila dia melakar nama sebagai penjaring kedua terbanyak dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Rahman, 22, meledak 24 gol ketika mewakili bekas pasukannya, Selangor II di belakang penyerang Kelantan RW, Emmanuel Mbarga.
“Bertindak cemerlang sebagai penyerang utama, Rahman juga mempunyai kelebihan taktikal untuk beroperasi dengan pantas di posisi sayap kanan.
“Rahman turut memikul tanggungjawab menyarung jersi skuad kebangsaan B-19 di kejohanan ASEAN U19 Boys Championship, serta menabur bakti untuk skuad B-23 menerusi kempen ASEAN U23 Championship dan AFC U23 Asian Cup Qualification,” tulis kelab di media sosial di sini.
Rahman akan bersaing merebut tempat posisi hadapan bersama Luqman Hakim yang menyertai kelab tersebut pada musim lepas selepas lima tahun berkelana di luar negara. – MalaysiaGazette
















