PONTIAN – Selepas beberapa bahan kempen calon Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dirosakkan, poster calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup turut menerima nasib yang sama.
Cheah Chee Hong melahirkan rasa kesal selepas sebuah papan iklan kempen miliknya menjadi mangsa perbuatan khianat diconteng dengan perkataan lucah dan kesat.
“Papan iklan besar saya yang terletak di Penerok, Kukup di sini diconteng dengan perkataan tidak sepatutnya. Kejadian ini dipercayai berlaku semalam.
“Dalam sistem demokrasi, setiap individu berhak membuat pilihan. Kita boleh berbeza pandangan, menyokong parti yang berbeza dan bertanding di gelanggang politik yang sama.
“Namun, rasa hormat antara satu sama lain tidak seharusnya hilang hanya kerana perbezaan tersebut,” katanya menerusi satu hantaran dalam media sosial hari ini.
Beliau berkata, semua pihak perlu berkempen secara matang, berhemah dan harmoni.
“Biar rakyat menilai melalui idea, rekod dan tawaran kepada mereka, bukannya melalui vandalisme atau provokasi,” katanya.
Chee Hong mengingatkan kepada para penyokong PH, supaya tidak membalas perbuatan itu kerana perbuatan khianat seumpama itu bukan cara mereka.
“Saya menyeru agar jangan sesekali membalas dengan merosakkan papan iklan, poster atau bahan kempen mana-mana pihak. Hormatilah hak semua calon untuk berkempen dengan aman.
“Pilihan raya akan berakhir, tetapi hubungan sesama masyarakat di Kukup akan kekal. Marilah kita sama-sama menjaga adab dan menunjukkan politik boleh berlangsung dengan penuh kematangan dan saling menghormati,” katanya.
Chee Hong berdepan saingan dua penjuru menentang Israk Abdullah dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Jefridin Atan.- MalaysiaGazette
















