JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) mencadangkan satu sistem yang membolehkan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan primer di mana-mana klinik swasta yang berdaftar tanpa bergantung sepenuhnya kepada klinik kerajaan.
Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr. N. Sathia Prakash berkata, pendekatan itu lebih praktikal berbanding membina klinik baharu yang memerlukan kos tinggi serta tempoh pelaksanaan panjang.
“Klinik sudah ada. Doktor sudah ada. Peralatan juga sudah tersedia. Kerajaan hanya perlu menanggung kos rawatan rakyat yang layak.
“Ini jauh lebih murah berbanding membina hospital atau klinik baharu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui dalam program pemeriksaan kesihatan di Tebrau semalam.

Sementara itu, Dr Sathia berkata, golongan M40 yang berdepan tekanan kos sara hidup tidak seharusnya tercicir daripada menerima bantuan kesihatan.
Beliau berkata, pengelasan B40 dan M40 semata-mata tidak lagi mencerminkan kemampuan sebenar sesebuah keluarga.
“Ada keluarga M40 yang mempunyai ramai tanggungan sehingga turut mengalami kesukaran mendapatkan rawatan. Kita perlukan sistem yang menilai kemampuan sebenar seseorang, bukannya hanya melihat kategori pendapatan.
“Jika benar-benar memerlukan, mereka juga perlu dibantu,” katanya.

Beliau mencadangkan penggunaan sistem digital yang lebih cekap bagi menentukan kelayakan penerima bantuan secara automatik.
“Bantuan kesihatan untuk golongan M40 boleh dibuat sama seperti pengagihan inisiatif seperti BUDI Madani RON95 dan Diesel serta sumbangan SARA,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















