KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan pelanjutan tempoh pelepasan cukai selama 10 tahun kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) sebagai pengiktirafan terhadap peranannya menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan berpatutan.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti isu pelepasan cukai yang melibatkan universiti berkenaan.
“Perdana Menteri telah meluluskan pelanjutan tempoh kelulusan pelepasan cukai TAR UMT untuk tempoh 10 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, TAR UMT kekal tertakluk kepada semakan pematuhan sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa.
Antara syarat yang perlu dipatuhi ialah mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun selaras dengan keperluan Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967),” tambahnya.
Baru-baru ini, Presiden MCA, Wee Ka Siong mendakwa kerajaan telah memungkiri janji apabila tempoh pengecualian cukai kepada Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman dikurangkan daripada 10 tahun kepada hanya tiga tahun.
Artikel berkaitan: Pengecualian cukai TARC perlu ikut undang-undang, bukan automatik
Beliau berkata, pengurangan tempoh pengecualian cukai itu bercanggah dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, ketika melawat Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology pada Februari lalu.
“Keputusan itu boleh memberi kesan kepada usaha yayasan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan pendidikan tinggi berkualiti dengan yuran yang berpatutan.
“Saya akan terus merayu kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan supaya tempoh pengecualian cukai selama 10 tahun dikembalikan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















