BUTTERWORTH – Seorang lelaki warga Myanmar dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan minyak diesel tanpa kebenaran pada April lalu.
Hakim Roslan Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nai Thet Naung, 38, selepas dia membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 5,808 liter di dalam sebuah stor tidak bernombor di Lorong Perusahaan Sungai Lokan di sini pada 15 April lalu.
Simpanan barang kawalan itu didapati tidak mendapat kebenaran daripada Pengawal Bekalan.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeya Darrsini bersama Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Hilmi Abu Hassan.
Mahkamah turut memerintahkan semua hasil rampasan dilucuthak kepada kerajaan. – MalaysiaGazette
















