JIKA dilihat pada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, DUN Pemanis masih dianggap antara kerusi yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Kemenangan penyandang BN dengan majoriti 4,187 undi memberi gambaran laluan untuk merampas kerusi itu bukan mudah.
Namun ketika kempen memasuki hari-hari terakhir, suasana di lapangan mula menimbulkan persoalan sama ada Pemanis benar-benar kekal sebagai kerusi yang selesa buat BN atau bakal menyaksikan persaingan yang jauh lebih sengit daripada jangkaan.
Perhatian kini terarah kepada calon muda Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Jalex Lee En Xiang yang pada awal pencalonannya menerima pelbagai reaksi apabila diletakkan bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu.
Ramai pada mulanya menganggap keputusan itu berisiko malah ada yang mempersoalkan sama ada seorang calon berbangsa Cina mampu menembusi kubu yang selama ini banyak bergantung kepada sokongan pengundi Melayu luar bandar serta komuniti FELDA.
Namun selepas hampir dua minggu berkempen, persepsi itu sedikit demi sedikit dilihat berubah.
Berbeza dengan pendekatan kempen yang lebih bersifat ceramah berskala besar, Jalex memilih untuk menghabiskan sebahagian besar masa bertemu penduduk secara bersemuka.
Beliau dilihat berjalan dari rumah ke rumah, singgah di warung, pasar, kawasan kampung dan FELDA, selain mendengar sendiri keluhan penduduk mengenai peluang pekerjaan, banjir, kemudahan kesihatan serta kos sara hidup.
Pendekatan itu mungkin tidak menghasilkan sorakan besar namun ia berjaya membina satu perkara yang sebelum ini menjadi kelemahannya iaitu tahap pengenalan dalam kalangan pengundi tempatan.
Sepanjang tempoh berkempen juga, PH dilihat memberi perhatian khusus kepada DUN Pemanis.
Kehadiran pimpinan utama parti dalam beberapa siri program serta usaha berterusan menggerakkan jentera akar umbi menunjukkan kerusi itu bukan sekadar dijadikan pelengkap pertandingan sebaliknya antara sasaran yang mahu diberikan tentangan habis-habisan.
Lebih menarik, DUN Pemanis berada dalam Parlimen Sekijang yang dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 menerusi Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang sedang mengemudi Parti Keadilan (PKR) untuk PRN Johor kali ini.

Walaupun corak pengundian pilihan raya negeri dan Parlimen tidak semestinya sama, keputusan itu memberi isyarat gabungan tersebut masih mempunyai asas sokongan yang boleh dibina sekiranya berjaya meningkatkan kadar keluar mengundi dan meraih sokongan pengundi atas pagar.
Dalam kalangan pemerhati politik, terdapat pandangan pertandingan kali ini bukan lagi semata-mata mengenai kekuatan parti, tetapi lebih kepada kemampuan calon meyakinkan pengundi tempatan.
Bagi Jalex, kelebihan utamanya ialah imej sebagai wajah baharu yang tidak banyak dibelenggu polemik politik lama.
Faktor itu sedikit sebanyak membantu beliau mendekati pengundi muda yang dilihat lebih cenderung menilai calon berdasarkan komitmen dan kesungguhan berbanding latar belakang politik semata-mata.
Namun semua itu tidak bermakna laluan PH menjadi lebih mudah.
BN masih memiliki kelebihan sebagai penyandang selain mempunyai rangkaian jentera yang kukuh di kawasan kampung tradisi dan penempatan FELDA.
Struktur organisasi yang telah lama bertapak itu terus menjadi kekuatan utama parti berkenaan setiap kali pilihan raya berlangsung.
Atas sebab itu, kebanyakan penganalisis masih melihat BN sebagai pilihan untuk mempertahankan kerusi Pemanis.
Namun jika ada satu perkara yang berjaya dilakukan sepanjang kempen ini, Jalex dilihat berjaya mengubah persepsi DUN Pemanis hanyalah sebuah kerusi yang selamat untuk BN.
Daripada sebuah kerusi yang pada awalnya kurang mendapat perhatian, DUN Pemanis kini mula disebut sebagai antara kawasan berpotensi mencipta saingan sengit apabila momentum kempen PH dilihat semakin meningkat dari hari ke hari.
Persoalan yang tinggal kini bukan lagi sama ada Jalex mampu memperkenalkan dirinya kepada pengundi, sebaliknya sama ada momentum yang dibina sepanjang tempoh berkempen cukup besar untuk diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian.
Sekiranya ia berlaku, Pemanis berpotensi menjadi antara kejutan terbesar PRN Johor kali ini. Namun jika jentera tradisi BN terus berjaya menguasai pengundi terasnya, kerusi itu dijangka kekal berada dalam genggaman parti berkenaan.
Apa pun keputusannya pada 11 Julai ini, satu perkara semakin jelas, Pemanis bukan lagi sekadar kerusi yang dilihat selamat. Ia kini menjadi gelanggang yang mula ‘berbisik’ tentang kemungkinan berlakunya satu lagi kejutan politik di Johor. -MalaysiaGazette
















