KUALA LANGAT – Siswi Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL), Nur Miza Wazinah Mohd Fauzi mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara acara Single Women 1 pada 16th Thailand-Malaysia Annual Varsity Games 2026 yang berlangsung di Chiang Mai Rajabhat University, Thailand.
Pelajar Diploma Teknologi Bunyi dan Pencahayaan itu mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan sebelum membantu Malaysia menjuarai kategori berkenaan, sekali gus membuktikan kemampuan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersaing di pentas antarabangsa.
Kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan KKKL, malah mengangkat imej Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) sebagai institusi yang melahirkan graduan cemerlang dalam bidang akademik, kemahiran dan kokurikulum.
Dalam pada itu, Pengarah Kolej Komuniti Kuala Langat, Mohd Asyraf Md Sum berkata, kejayaan Nur Miza Wazinah membuktikan pelajar KKKL mampu menyerlah bukan sahaja dalam bidang akademik dan kemahiran teknikal, malah turut mencipta kecemerlangan dalam arena sukan antarabangsa.
Menurut beliau, pencapaian itu menjadi bukti KKKL sentiasa menyokong pembangunan pelajar secara menyeluruh bagi melahirkan graduan TVET yang seimbang dari segi ilmu, kemahiran, kepimpinan, sahsiah dan kecergasan.
“Kejayaan ini merupakan kebanggaan seluruh warga KKKL. Ia membuktikan bahawa dengan kesungguhan, disiplin dan semangat juang yang tinggi, pelajar kolej komuniti mampu bersaing serta mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap kejayaan Nur Miza Wazinah menjadi inspirasi kepada seluruh warga KKKL untuk terus mengejar kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi serta tidak pernah berhenti mencabar potensi diri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih, pegawai, keluarga dan semua pihak yang memainkan peranan penting dalam membantu Nur Miza Wazinah mencapai kejayaan tersebut.
Kejayaan berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar KKKL untuk aktif dalam sukan di samping mengekalkan kecemerlangan akademik dan kemahiran, selaras dengan aspirasi POLYCC melahirkan graduan TVET berdaya saing serta mampu membawa nama negara ke persada dunia.
Warga KKKL turut merakamkan ucapan tahniah kepada Nur Miza Wazinah dan mendoakan agar beliau terus melakar lebih banyak kejayaan pada pertandingan akan datang, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengharumkan nama institusi, negeri dan negara. – MAlaysiaGazette
















