Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau di pusat beli belah di negeri itu diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, sekiranya dibenarkan ia akan
menjejaskan usaha untuk memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadat umat Islam.

“Hal ini kerana ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid-masjid serta surau solat Jumaat sedia ada berkurangan kerana umat Islam mempunyai pilihan untuk mendirikan solat Jumaat di surau di pusat beli-belah,” katanya dalam kenyataan.

Respon itu susulan pendirian Kerajaan Persekutuan melalui kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berhubung dengan cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara baru-baru ini.

Salehuddin berkata, bilangan masjid sebanyak 448 buah masjid dan 379 buah surau yang diberikan kebenaran solat Jumaat sudah mencukupi di Selangor.

“Solat Jumaat merupakan ibadah penting dan mulia bagi umat Islam dan ianya lebih sesuai didirikan di dalam masjid dan surau yang khusus dibina untuk umat Islam mengerjakan ibadah berbanding dengan pelaksanaannya di surau yang berada di pusat beli-belah yang lazim dikaitkan sebagai tempat perniagaan, hiburan dan rekreasi bagi orang ramai tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Bagi tujuan memberi kebenaran solat Jumaat di surau di pusat beli-belah, pihak MAIS juga perlu mengambil perhatian terhadap aspek bagi pelantikan imam, bilal dan petugas lain yang diperlukan serta pengurusan dan tadbir urus surau/musolla tersebut agar menepati segala peraturan dan dasar yang telah ditetapkan.

Dalam keadaan lain, jika petugas bagi surau kebenaran solat Jumaat di pusat beli-belah tersebut tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyebabkan kesukaran dari aspek pemantauan dan kawalan terhadap pengurusan surau tersebut termasuk memastikan pematuhan dan keseragaman pembacaan khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak MAIS.

MAIS menjelaskan walaupun pada masa ini terdapat satu surau di pusat beli-belah di Negeri Selangor yang telah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat namun kebenaran ini adalah bersifat sementara.

Ia diberikan kebenaran secara sementara kerana tiada masjid yang berdekatan dengan premis ini.

“Namun demikian, kebenaran sementara ini akan ditarik balik jika di masa hadapan terdapat pembinaan masjid yang berdekatan dengan pusat beli belah tersebut yang mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.

MAIS menjelaskan ketetapan Sultan Selangor ini adalah selaras dengan ajaran dan syiar Islam agar umat Islam memperkukuhkan fungsi dan peranan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam selain menjadi pusat penyebaran ilmu dan dakwah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast