Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Program Ramah Mesra bersama Masyarakat Iskandar Puteri di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2026.

ISKANDAR PUTERI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi nanti akan selari dengan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi BN itu berkata, ini kerana gabungan tersebut juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Ingat, BN juga sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Ya, Kerajaan Johor adalah kerajaan BN tetapi BN adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Jangan khuatir. Kerajaan BN Johor yang dipimpin oleh Datuk Onn sebagai Pengerusi BN Johor dan saya sebagai Pengerusi BN Malaysia, saya akan pastikan Kerajaan Negeri Johor akan tetap selari dengan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya,” katanya.

Penyokong Barisan Nasional yang hadir pada Program Ramah Mesra bersama Masyarakat Iskandar Puteri di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2026.

Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Iskandar Puteri di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Katanya, tiada masalah untuk calon-calon BN kerana mereka tidak akan menentang Kerajaan Perpaduan serta akan menghormati keputusan di peringkat UMNO Pusat dan BN Pusat.

“Apa pula kata BN ini menjadi pembangkang? Kami tak membangkanglah,” katanya dan memberitahu BN hanya menjadi pembangkang sebelum ini selama 22 bulan sahaja sebelum menjadi kerajaan semula.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Ramah Mesra bersama Masyarakat Iskandar Puteri di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2026.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau memilih calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini adalah berdasarkan mereka yang bekerja kerja kuat dan boleh menang.

Beliau berkata, ramai menjangkakan BN Johor akan menang 40 kerusi atau kurang tetapi yakin masih boleh bentuk kerajaan negeri.

Ahmad Zahid berhasrat untuk lihat kestabilan politik di Johor dapat dipertahankan dan atas sebab itu UMNO bertanding 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala MCA 15 kerusi dan MIC empat kerusi.

Beliau juga mahu pengundi melihat trek rekod Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam tempoh empat tahun lalu sebagai Menteri Besar Johor yang berjaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan membina perumahan baharu.

“Apa yang tak dilakukan Datuk Onn Hafiz. Sepanjang waktu itu sebanyak 80,000 peluang pekerjaan untuk anak muda seluruh Johor berjaya diwujudkan dan juga (janji) dalam manifesto beliau.

“Untuk penggal akan datang janji mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu untuk anak muda negeri Johor. 20,000 rumah kos rendah juga diwujudkan sepanjang menjadi Menteri Besar dan berazam wujudkan lagi banyak rumah,” katanya.

Beliau berkata, tempoh 48 jam untuk berkempen menjelang PRN Johor adalah sangat kritikal dan meminta jentera untuk kerja keras memenangkan calon BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast