Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu pengundi di Johor agar memberikan peluang kepada gabungan itu untuk mentadbir negeri berkenaan pada pilihan raya yang bakal berlangsung dalam beberapa hari lagi.

Menurut Perdana Menteri, baki tempoh berkempen yang masih ada diharap dapat dimanfaatkan oleh rakyat Johor untuk memberi mandat kepada PH bagi berkhidmat kepada negeri itu.

“Berbaki hanya beberapa hari sebelum rakyat Johor membuat pilihan, saya merayu agar diberikan peluang kepada HARAPAN untuk berkhidmat kepada negeri ini.

“Insya-Allah, kami akan bekerja bersungguh-sungguh, mempertahankan kepentingan Johor dan memastikan kemajuan yang dibawa benar-benar dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Penentuan bagi membentuk kerajaan negeri memerlukan majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 29 kerusi.

Sebanyak 42 daripada 56 kerusi DUN menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru, manakala 14 kerusi menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast