BUTTERWORTH – Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan topi keledar dan parang sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki, bulan lalu.
Tertuduh, Zul Mazuwan Zulhilman Suresh Kumar, 31, dan Mohammad Ghani Shak Ali, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah parang dan sebuah topi keledar sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Amirul Asyraf Ismail, 31, sebelum merampas sebuah beg silang serta telefon bimbit jenama Oppo warna hitam miliknya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bagan 3, Taman Bagan di sini pukul 2.20 pagi, 21 Jun lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan turut dikenakan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim manakala Zul Mazuwan diwakili peguam, Y. Yogeswaran.
Ketika prosiding Nadhirah menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh, namun memohon syarat tambahan dikenakan jika mahkamah membenarkan mereka diikat jamin.
“Mohon kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada, melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan,” katanya.
Yogeswaran kemudian memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan alasan tertuduh bekerja sebagai pemandu lori menanggung ibu bapanya dan mempunyai alamat tetap di Chai Leng Park.
Beliau turut memaklumkan Zul Mazuwan memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dan telah ditahan polis sejak 22 Jun lalu selain ibunya hadir di mahkamah untuk menjamin anaknya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang tertuduh serta syarat tambahan kedua-dua mereka perlu melapor diri di Balai Polis Perai sebelum lima haribulan setiap bulan.
Sebuatan semula kes ditetapkan pada 4 Ogos depan termasuk bagi membolehkan tertuduh kedua melantik peguam.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pemandu lori sampah dituduh lakukan seks luar tabii, rogol warga asing
Tak serik, Zul Mazuwan sekali lagi didakwa di mahkamah
Tak serik, Zul Mazuwan sekali lagi didakwa di mahkamah
Media pada Februari lalu melaporkan, Zul Mazuwan dibebaskan dengan jaminan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan dua lelaki termasuk seorang anggota polis menggunakan kayu golf.
Dia juga pernah didakwa atas tuduhan melakukan seks luar tabii dan merogol seorang wanita warga asing di Perai pada Oktober 2021. – MalaysiaGazette
















