JIM menahan 31 PATI dalam serbuan di tujuh premis sekitar Batu Pahat, semalam

BATU PAHAT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu di tujuh premis sekitar daerah ini, semalam.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa Cawangan Batu Pahat melakukan serbuan bermula pukul 3 petang.

“Pemeriksaan awal dalam Operasi Ops Selera, Ops Kutip dan Ops Sapu itu mendapati seramai 31 warga asing di tahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Antara yang ditahan dalam operasi bersepadu dilakukan pihak imigresen

 

“Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dewasa warganegara Bangladesh, 16 lelaki dewasa Myanmar, tujuh lelaki dewasa Indonesia, tiga wanita dewasa Indonesia dan tiga wanita Myanmar,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mereka dipercayai bekerja dan tinggal di premis-premis berkenaan yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 48 tahun.

Katanya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beberapa PATI ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu

 

Mereka katanya, ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu katanya, sebanyak enam keping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu katanya, JIM Johor akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana warga asing yang melanggar syarat pas atau tinggal di negara ini secara haram, termasuk majikan dan pihak yang didapati melindungi, menggaji atau bersuhabat dengan PATI.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast