Ahmad Zahid Hamidi berucap dalam program Apa Khabar Siswa? di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – Kerajaan sedia untuk menyediakan kursus khas untuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diberikan pendedahan berkaitan kepimpinan dan politik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kursus berkenaan bertujuan memberi kefahaman kepada pemimpin pelajar mengenai landskap politik negara, sekali gus membentuk kepimpinan yang lebih matang.

“Dalam situasi yang begitulah, saya harap MPP, bawalah seluruh MPP dengan kebenaran Menteri Pendidikan Tinggi (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir).

“Ya, kami membiayai agar mereka dapat memasuki kursus kepimpinan agar mereka dapat terdedah di dalam bidang politik untuk mencorakkan warna politik sebenar di tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Apa Khabar Siswa? di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan bersedia menyediakan kursus berkenaan sekiranya mendapat permintaan daripada MPP di seluruh negara.

“Jika ada permintaan daripada mereka, kita sediakan kursus berkenaan.

“Kita telah mulakan inisiatif itu dalam kalangan pelajar universiti menerusi Sekolah Politik UMNO (SPU),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast