Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersama calon BN N.50 Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, calon BN N.51 Bukit Batu, R K Kumaran dan calon BN N.52 Senai, Kiki Tai ketika hadir ke Program Santai Bersama Masyarakat DUN Bukit Permai di Southern Tiger Hub, Kulai. Foto SADIQ SANI, 09 JULAI 2027.

KULAI – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya menaikkan nama Johor dengan menarik pelaburan paling tinggi selain membangunkan ekonomi negeri dengan pesat.

Justeru bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin menyeru rakyat untuk terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan kecemerlangan mentadbir negeri ini setelah mempamer rekod yang membanggakan.

“Onn Hafiz kini sudah ‘separuh jalan’ untuk memuktamadkan agenda Maju Johor 2030 dan memerlukan sokongan rakyat Johor untuk meneruskan usaha memajukan negeri ini.

“Dia macam perlawanan bola sepak, tuan-tuan, puan-puan, bila kita sudah leading separuh masa pertama, buat apa kita tukar pemain? Buat apa kita tukar pasukan?

“Biar perjalanan kita sampai 2030, Datuk Onn Hafiz tengah rancak skor gol, gol, gol, yang cari pasal tukar striker buat apa tuan-tuan. Maknanya kita kekalkan ‘pemain’ dan juga BN, Johor berjaya merekodkan pelaburan paling tinggi dan ekonomi membangun paling pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama KJ dan Jafni di Southern Tiger Hub, Bandar Putra hari ini.

Turut hadir ialah calon BN kerusi DUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, calon BN kerusi DUN Bukit Batu, R. Kumaran dan calon BN kerusi DUN Senai, Kiki Tai.

Khairy berkata, rakyat Johor jangan lupa kekecewaan terhadap Pakatan Harapan (PH) selama empat tahun ini selepas pelbagai janji yang ditaburkan gagal ditunaikan.

“Kita perlu ajar mereka, pengundi Cina perlu ajar mereka. (PH) menjadi Kerajaan Pusat, sombong! Angkuh! Dapat jawatan menteri tak tunaikan janji, scam rakyat.

“Kita bubar DUN bukan suka-suka, kita bubarkan DUN sebab kita nak hadiahkan rakyat Johor dengan kerajaan yang lagi kuat! Yang lagi ampuh! Yang boleh buat keputusan dengan cepat. Sebab itulah kita bertanding solo.

“Ramai yang kata sombong, tak nak duduk satu meja, tak nak bergabung. Tapi pandangan saya, tuan-tuan, elok kita tidak bergabung, elok kita bertanding solo.

“Senang Datuk Onn Hafiz, Datuk Jafni buat keputusan dengan pantas, bertindak untuk rakyat,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast