BATU PAHAT – Papan iklan calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar di kawasan Jambatan Baharu Sungai Buloh di sini menjadi sasaran apabila dikesan dirosakkan pagi ini.
Onn yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat dalam Facebook miliknya kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu
“Berdasarkan pemerhatian di lokasi, terdapat beberapa bahagian papan iklan yang berlubang dan koyak. Menurut maklumat yang diterima, papan iklan tersebut dilaporkan masih berada dalam keadaan baik pada malam sebelumnya.
“Perbuatan seperti ini, jika benar dilakukan dengan sengaja, adalah tidak bertanggungjawab dan mencemarkan semangat demokrasi serta kempen pilihan raya yang matang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan melalui tindakan merosakkan harta benda.
Semua pihak diseru supaya menghormati proses demokrasi, mematuhi undang-undang dan membiarkan rakyat membuat pilihan mereka secara aman pada hari pengundian,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya terdapat unsur jenayah, perkara ini diharapkan dapat disiasat oleh pihak berkuasa mengikut lunas undang-undang.

“Biar rakyat memilih melalui peti undi bukan melalui perbuatan vandalisme,” katanya yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batu Pahat.
Sebelum ini beberapa bahan kempen PH antaranya di Kulai dan Pontian dikesan dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.- MalaysiaGazette
















