SIMPANG RENGGAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan bantuan kepada rakyat akan terus diperkasa.

Beliau berkata, biarpun masih ada pihak yang memainkan sentimen ‘hari ini menang, esok minyak turun, tetapi perkara itu telah dilaksanakan dengan baik untuk rakyat di negara ini.

“Selepas kita buat petrol RON95, ada yang mengeluh diesel pun perlu juga.

“Saya kata, sabar satu-satu kita laksana. Sekarang, diesel pun kita subsidikan.

“Bukan semua benda boleh buat cepat, perlahan-lahan. Bantuan kerajaan bagi tu untuk semua, SARA (Sumbangan Asas Rahmah) pun kalau negara kita ok, boleh naik lagi,” katanya ringkas pada ucapan di Grand Finale DUN Layang-Layang, di sini.

Dalam ucapan sama Anwar turut menyentuh bantuan untuk persekolahan di mana kerajaan sudah melakukannya bermula dari sekolah rendah, menengah dan universiti.

“Kerajaan sudah bantu anak-anak ini beli buku, baju sekolah, semua ada.

“Cuma, untuk tingkatan 6, tunggu pembentangan Belanjawan nanti akan ada,” katanya ringkas.

Turut hadir pada program berkenaan adalah Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan, Ketua AMK Malaysia Muhammad Kamil Abdul Munim serta beberapa kepimpinan parti PKR.

Anwar yang juga merupakan Presiden Pakatan Harapan turut mengingatkan pengundi DUN N26 Machap dan N27 Layang-Layang untuk menunaikan tanggungjawab esok kerana ia akan menentukan masa depan Layang-Layang.

“Ini election ini bukan soal Anwar, bukan soal Guna (Balakarishnan), bukan soal Hafiz (calon PH Dun Machap), tapi ini soal kita.

“Kita kena kerja keras, saya perdana Menteri, semua kena tolong, tapi bukan semua boleh selesai segera.

“Kita selesai perlahan-lahan,” katanya lagi.

Dalam ucapan sama, Anwar turut menyentuh sikap beberapa pemimpin yang mengambil duit rakyat dengan menyerahkan projek kepada kroni.

“Ada yang bagi pada adik, saudara sendiri.

“Selagi ada projek bagi mereka, negeri boleh jahanam kalau macam ini.

“Kita kena pastikan semua kena jujur,” katanya lagi.

Terdahulu, Anwar hadir memberikan amanat terakhir sebelum kempen berakhir pada jam 11.59 malam ini.

N27 Layang-Layang menyaksikan calon Pakatan Harapan Guna Balakrishnan bakal bersaing dengan penyandang terdahulu, Abd Mutalip Abd Rahim yang kini mewakili Perikatan Nasional (PN-Bersatu) dan calon Barisan Nasional, Chua Jian Boon.

Kawasan separa luar bandar yang terletak di bawah Parlimen P151 Simpang Renggam ini merekodkan jumlah keseluruhan 25,181 pengundi berdaftar mengikut data wartaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat Mei 2026.

Komposisi dinamik pemilih di DUN ini merangkumi 55 peratus pengundi Melayu, 30 peratus Cina, 13 peratus India dan selebihnya adalah lain-lain kaum, meletakkan sokongan rentas etnik sebagai kunci utama kemenangan bagi mana-mana calon.

Untuk rekod pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 lalu Abd Mutalip  yang ketika itu bersama BN-UMNO menang dengan majoriti 2,815. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast