JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd. Puad optimis momentum sokongan terhadap gabungan itu terus meningkat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Sabtu.
Beliau berkata, sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen, khususnya menerusi kempen turun padang dan program bertemu pengundi dari rumah ke rumah, memberi keyakinan kepada jentera PH sokongan rakyat berada pada landasan yang positif.
“Hari ini kita bersama rakan-rakan turun ke Pasar Malam Setia Tropika. Walaupun kawasan ini sering dikaitkan dengan DUN Puteri Wangsa, sebenarnya terdapat sempadan dengan DUN Kempas dan ramai pengundi Kempas turut berbelanja di sini.
“Setakat ini, sehari sebelum pilihan raya, kita melihat momentum itu ada. Sokongan yang diterima, dorongan dan kata-kata semangat daripada pengundi sangat positif.
“Kita berharap perkara itu dapat diterjemahkan dalam bentuk undi pada 11 Julai nanti,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melakukan walkabout untuk menyantuni pengundi di Pasar Malam Setia Tropika.
Selain itu, Faezuddin juga berkata, jentera PH tidak akan memperlahankan rentak kempen pada hari terakhir sebelum tempoh berkempen berakhir, sebaliknya akan menggerakkan seluruh kekuatan bagi mendekati seramai mungkin pengundi.
“Esok adalah hari terakhir berkempen. Seluruh jentera akan bekerja habis-habisan dan kita berharap usaha ini dapat menyumbang kepada kemenangan pada hari pengundian nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pengundi DUN Kempas, termasuk mereka yang berada di luar Johor kerana bekerja atau belajar, supaya pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Menurutnya, setiap undi amat penting dalam menentukan hala tuju pembangunan kawasan serta kesinambungan pentadbiran negeri dan Persekutuan.
“Saya berharap semua pengundi, sama ada berada di Kempas mahupun bekerja dan belajar di Kuala Lumpur serta Singapura, dapat pulang mengundi.
“Berilah sokongan kepada calon Pakatan Harapan di DUN Kempas,” katanya.
Katanya lagi, PH menawarkan kombinasi kepimpinan muda dan pengalaman pentadbiran kerajaan sebagai antara kekuatan utama yang dibawa dalam kempen kali ini.
Tambahnya, PH juga mempunyai rekod pentadbiran yang baik selain mampu bekerjasama secara langsung dengan Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan demi mempercepatkan pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan untuk rakyat.
“Kita mempunyai rekod yang baik dan cemerlang. Pada masa sama, kita selari dengan Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan.
“Kita juga mewakili generasi muda. Di Kempas, saya berusia 35 tahun dan saya percaya sudah tiba masanya golongan muda diberikan ruang dan peluang untuk bersama-sama memimpin serta membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Kerusi DUN N.47 Kempas menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada PRN Johor kali ini melibatkan Muhammad Faezuddin mewakili PH, penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ramlee Bohani serta calon Parti Bersama Malaysia (PBM), Salamahafifi Mohd. Yusnaieny.
Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai selepas tempoh berkempen selama 14 hari yang menyaksikan parti-parti bertanding giat menawarkan pelbagai manifesto dan komitmen kepada pengundi di seluruh negeri. – MalaysiaGazette
















