JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat, khususnya golongan muda supaya tidak membenarkan mana-mana pihak membawa fahaman melampau yang memecah-belahkan perpaduan.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, keamanan yang dikecapi Malaysia hari ini adalah hasil daripada hubungan baik serta semangat kebersamaan yang terjalin antara rakyat pelbagai kaum sejak sekian lama.
“Yang paling penting ialah kita mesti terus menjaga persahabatan dan keamanan negara.
“Anak-anak muda kena ingat, negara ini aman kerana kita bersahabat. Negara ini aman kerana semua kaum dapat bersatu.
“Jangan bagi golongan yang terlampau memecah-belahkan kita. Ini penting saya nak ingatkan,” katanya ketika berucap pada program kempen PH di Perling Mall, di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menyeru pengundi, khususnya mereka yang pertama kali mengundi dan golongan belia, supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing.
“Anak muda perlu memilih parti dan calon berdasarkan rekod serta prestasi kerajaan, bukannya dipengaruhi sentimen atau hasutan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat perlu menilai pencapaian kerajaan menerusi pelbagai dasar dan inisiatif yang telah dilaksanakan bagi membantu meringankan beban kehidupan.
“Ini bukan cakap kosong. Kita tengok rekod kita.
“Pelbagai bantuan kepada anak-anak sekolah telah disediakan dan pelbagai masalah rakyat sedang kita usahakan untuk diselesaikan melalui dasar-dasar baharu kerajaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengajak orang ramai menikmati suasana kempen secara harmoni sebelum keluar mengundi bagi menentukan masa depan negeri dan negara.
“Saya harap semua dapat menikmati malam ini. Esok keluarlah mengundi dan tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















