Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berucap pada Ceramah Pakatan Harapan pada Jelajah Pakatan Harapan Selangor Parlimen Kota Raja di Jalan Kebun, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 24 MEI 2026.
Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin mendakwa bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sering mengubah pendirian politiknya mengikut keadaan semasa.

Menurut Danish, perubahan naratif Khairy atau lebih dikenali dengan panggilan KJ berlaku seiring perubahan landskap politik dan tindakan itu disifatkan lebih didorong oleh kepentingan politik peribadi berbanding prinsip yang konsisten.

Jelas beliau, rekod pendirian KJ sering berubah-ubah seperti yang berlaku dalam isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ular boleh menyalin kulit, tetapi belang tetap dikenali. Begitu juga dalam politik KJ.

“Sebelum sibuk mengajar penyokong Pakatan Harapan membuat pilihan, mungkin lebih baik Khairy terlebih dahulu menjawab satu persoalan yang masih belum terjawab.

“Apakah sebenarnya prinsip yang beliau pegang sehingga hari ini, dan adakah prinsip itu akan kekal selepas pilihan raya nanti?” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Danish turut mempersoalkan sama ada pendirian Khairy akan berubah sekali lagi sekiranya beliau tidak mendapat peluang bertanding di kerusi yang diidamkan.

Selain itu, beliau mendakwa hampir setiap Presiden UMNO pernah menjadi sasaran kritikan Khairy apabila tidak sehaluan dengan percaturan politiknya pada ketika itu, namun kritikan tersebut dikatakan semakin reda apabila kedudukan politik berubah.

Katanya, keadaan itu menyebabkan rakyat kini lebih mudah menilai pendirian sebenar Khairy, sama ada sebagai individu yang pernah mengkritik dan kemudian mempertahankan Najib, mengkritik Ahmad Zahid, menyokong Rafizi Ramli atau kini memberi nasihat kepada penyokong Pakatan Harapan.

“Dalam politik, rakyat tidak takut kepada ular yang menyalin kulit. Rakyat lebih berhati-hati kepada ahli politik yang menyalin pendirian,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.