KULAI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok akan memberi peluang terbaik kepada MIC untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu dengan majoriti besar selepas terlepas ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada 2013.
Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah berkata, keyakinan tinggi itu berdasarkan sokongan sokongan kuat pengundi di kalangan Melayu, Cina dan India yang telah meningkat secara mendadak berbanding pilihan raya sebelum ini.
Beliau juga percaya calon MIC, R Kumaran akan menang dengan undi yang lebih besar kerana mendapat penerimaaan positif khususnya daripada kaum Melayu yang amat menggalakan.
“Beliau fasih berbahasa Malaysia dan juga bahasa Inggeris serta bahasa Tamil selain belum ada mana-mana rekod buruk yang boleh menyebabkan pengundi menolak beliau.
“Saya yakin dan percaya pengundi akan menentukan hala tuju penting mereka dan semua penduduk di DUN Bukit Batu ini akan turun ramai-ramai untuk menyokong calon Barisan Nasional demi pembangunan negeri Johor,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kumaran akan berdepan dalam pertembungan lima penjuru menentang penyandang, Arthur Chiong dari PH, G Tamili (Bersama), M Premanand (MUDA) dan Kamaruzaman Ali (Bebas).
Bukit Batu mempunyai 49,963 pengundi dengan pengundi Cina dianggarkan 52.2 peratus daripada keseluruhan pemilih di mana Melayu sebanyak 37.8 peratus, India (8.5 peratus), dan komuniti lain (1.5 peratus).
Pada PRN 2022, Chiong memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 137 undi.
Mengulas lanjut, Murugiah berkata, kerusi Bukit Batu yang diwakili pembangkang sebelum ini telah menyukarkan untuk bekerjasama dengan parti pemerintah kerana tidak sehaluan dengan Kerajaan Johor di bawah Barisan Nasional (BN).
“Maka kali ini kalau pengundi-pengundi tempatan memberi sokongan kepada BN, DUN Bukit Batu ini akan dibangunkan dengan pelbagai idea.
“Saya sudah bincang dengan Menteri Besar Johor dan beliau juga telah memaklumkan pada saya akan membuat sesuatu untuk pembangunan Bukit Batu.
“Jadi saya yakin keputusan pengundian esok yang positif di mana mana Bukit Batu akan jatuh ke tangan BN,” katanya. – MalaysiaGazette
















